suria

Hikmah di sebalik kontroversi, Aliff Aziz dapat jaga ibu bapa... “Saya nak jadi lebih baik”

Aliff fokus jaga ibu bapanya.

SELEPAS terpalit dengan kontroversi, penyanyi dan pelakon Aliff Aziz kini memilih untuk fokus kepada kebahagiaan kedua ibu bapanya.

Menurut Aliff, 34, setiap ujian yang datang membawa hikmah tersendiri apabila dia kini diberi peluang untuk menjaga serta meluangkan lebih banyak masa bersama ibu bapanya yang menetap di Singapura.

"Saya tinggal bersama ibu bapa saya di sana (Singapura). Alhamdulillah mereka masih sihat walaupun sudah berusia,” katanya kepada mStar.

Aliff anggap setiap ujian ada hikmahnya.

Tambah Aliff, peluang itu membuatkan dia lebih menghargai setiap detik bersama orang tuanya itu memandangkan sebelum ini mereka jarang dapat berkumpul kerana komitmen kerja. 

"Ada hikmah sebab saya dapat luangkan masa dengan mereka sekarang. Kadang-kadang kita adik-beradik sibuk, jadi tak banyak masa untuk berkumpul.

"Tapi bila saya di sana, saya dapat luangkan masa. Kadangkala saya main boling dengan ayah sampai pukul 1 pagi semata-mata nak habiskan masa dengan mereka,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Aliff Aziz tidak pernah menghilang, tetap aktif menyanyi... Enggan terus dibayangi kisah lama

ARTIKEL BERKAITAN: Lama menyepi, Aliff Aziz lepas gian menyanyi di Singapura

Aliff juga mengakui pernah menyesal kerana tidak memberi sepenuh perhatian kepada ibu bapanya suatu ketika dahulu, namun kini lebih berhati-hati agar tidak mengulangi kesilapan sama.

"Bila ibu bapa kita dah berada di peringkat umur ini, saya tak nak ada penyesalan itu.

"Saya pun manusia biasa, banyak juga penyesalan dalam hidup terutama melibatkan ibu bapa,” katanya lagi.

Saya nak jadi lebih baik, luangkan masa dengan mereka.

ALIFF AZIZ

PENYANYI/PELAKON

Bagi Aliff, apa yang penting ketika ini adalah memperbaiki diri dan menggunakan masa yang masih ada untuk menggembirakan mereka.

"Apa yang keluarga saya sudah lalui itu tak boleh patah balik, tapi saya boleh fokus kepada masa depan.

"Saya nak jadi lebih baik, luangkan masa dengan mereka, dan cuba kotakan apa yang mereka suka. Insya-Allah, saya harap dengan apa yang saya buat ini, Allah permudahkan urusan dan rezeki saya,” tambahnya.

Aliff mahu berbakti buat orang tua.

Untuk rekod, nama Aliff pernah menjadi bualan hangat apabila ditangkap berkhalwat pada 9 Mac tahun lalu selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur.

Susulan itu, rumah tangga bersama penyanyi Bella Astillah bercerai talak satu buat kali kedua pada 13 Jun 2024.

Mereka sebelum itu pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dalam tempoh idah.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Ayden Adrian dan Ara Adreanna.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain