USAHAWAN Cheta Pot Pet meluahkan rasa kecewa selepas anak lelakinya dikatakan mengalami kecederaan akibat prosedur pembedahan torsion dan berkhatan di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang pada Ogos lalu.
Menurut Cheta atau nama sebenarnya Rozita Baharom, kejadian itu didakwa berpunca daripada kecuaian pihak hospital yang melakukan prosedur berkhatan secara tidak sempurna.
“Saya memang kecewa dan marah sebab jelas apa yang berlaku disebabkan kecuaian pihak hospital.

Cheta sedang tunggu maklum balas pihak hospital.
"Kami ke sana sebenarnya bukan untuk sunat, tetapi doktor pakar yang merawat mencadangkan supaya anak saya disunatkan terus selepas selesai menjalani pembedahan torsion bagi menjimatkan masa rawatan,” katanya ketika dihubungi mStar pada Jumaat.
Menurut Cheta, pembedahan torsion bagi merawat masalah pada bahagian zakar anaknya, Que Harith Rayyan, 11 berjalan dengan baik, namun proses berkhatan yang dilakukan selepas itu didakwa tidak sempurna.
“Prosedur torsion itu berjaya, tapi bahagian sunat dibuat secara tidak sempurna pada 20 Ogos lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Tersentak selepas tonton drama ‘Keluarga Itu’, Che Ta Pot Pet mula ubah cara layan suami
ARTIKEL BERKAITAN:Sudah ‘move on‘ kes saman RM16 juta terhadap Iddin Syah, kehidupan Che Ta Pot Pet makin tenang
"Selepas dua bulan, kulit zakar anak saya luka sampai nak kencing pun sakit, pedih, dan bila bergesel kadang keluar darah,” ujarnya.
Tambah usahawan itu, pihak hospital berkenaan bagaimanapun enggan mengaku sebarang kecuaian dan meminta keluarganya mendapatkan rawatan susulan di hospital kerajaan bagi mengenal pasti punca sebenar.
Cheta turut memaklumkan, dia dan suami, Mohd Rosli Abu Bakar sudah menghantar surat rasmi kepada ibu pejabat hospital berkenaan bagi menyatakan rasa tidak puas hati serta sedang menunggu laporan rasmi berhubung komplikasi tersebut.
Pihak hospital langsung tidak mengaku kesilapan mereka.
CHETA POT PET
USAHAWAN
Menurutnya, dia kini sedang menuntut pampasan penuh atas kecuaian yang berlaku dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya pihak hospital gagal memberi penyelesaian sewajarnya.
“Apa yang buat saya kecewa, pihak hospital langsung tidak mengaku kesilapan mereka. Sebaliknya, mereka minta kami rujuk ke hospital kerajaan.
"Saya dan suami hanya minta pampasan sementara waktu, tapi kalau mereka masih tidak mahu bertanggungjawab, kami akan ambil tindakan undang-undang.

Cheta dan suami tidak teragak-agak bawa isu ini ke muka pengadilan.
“Kes ini melibatkan anak saya yang kini menanggung kesakitan dan trauma selepas prosedur tersebut. Malah, dia mungkin perlu melalui pembedahan kedua untuk memperbetulkan keadaan.
"Sebagai seorang ibu, saya amat kecewa dan hanya mahukan keadilan untuk anak saya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Cheta turut mendapatkan pandangan beberapa pakar lain yang mencadangkan agar anaknya menjalani prosedur sunat semula bagi memperbaiki keadaan.
Untuk makluman, pembedahan torsion merupakan prosedur bagi merawat keadaan kecemasan apabila testis atau zakar berpusing sehingga menyebabkan saluran sperma terbelit dan menghalang aliran darah ke bahagian tersebut.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


