suria

“Dah tua-tua duduklah rumah buat amal ibadah” - Linda Rafar terkesan komen jahat netizen hingga pertimbang keluar Elite

Linda terkesan dengan kecaman hebat netizen terhadapnya.

TERKESAN dengan kecaman demi kecaman dilemparkan netizen, penyanyi Linda Rafar mengaku perkara itu menjadi antara punca utama dia mempertimbangkan untuk meninggalkan kumpulan Elite.

Linda atau Azlinda Abdul Rafar, 47, berkata, dia berasa sedih selepas membaca pelbagai komen negatif yang mempersoalkan kehadirannya dalam kumpulan tersebut.

“Terus terang saya memang sangat terkesan dengan komen-komen netizen yang tidak suka saya bersama Elite. Ada pula yang cakap dah tua-tua duduklah rumah buat amal ibadah.

Linda masih terikat dengan beberapa komitmen bersama Elite.

“Di sinilah saya mula berfikir bukan-bukan sampai tahap salahkan diri sendiri atas semua komen-komen negatif itu,” katanya ketika dihubungi mStar

Menurut Linda, tekanan emosi yang dirasainya itu menyebabkan dia membuat luahan sekali gus memberi bayangan untuk menarik diri daripada kumpulan Elite. 

Bagaimanapun keputusan itu sedang dipertimbangkan kerana masih terikat dengan beberapa komitmen bersama Elite.

“Jadi saya baru berbincang dengan pihak pengurusan dan anggota Elite yang lain. 

ARTIKEL BERKAITAN: Linda Rafar umum keluar Elite 

ARTIKEL BERKAITAN: Penampilan di konsert Elite terima kecaman hebat, Linda Rafar tak maafkan individu hina hingga aibkan dirinya

“Mereka memang tidak setuju 100 peratus untuk saya keluar Elite. Lagipun saya masih ada terhutang persembahan yang besar dan kerja-kerja promosi bersama Elite.

“Jadi saya tidak boleh pentingkan diri untuk hanya memikirkan masalah sendiri,” ujarnya. 

Sementara itu, Linda turut memohon peminat untuk mendoakan yang terbaik buat dirinya agar dapat menyelesaikan situasi ini sebelum konsert GenKRU The Finale berlangsung pada 22 November ini. 

Linda (tengah) mohon peminat untuk mendoakan yang terbaik buat dirinya.

“Saya perlukan masa dan doa daripada anda semua moga ada jalan penyelesaian sebelum konsert GenKRU ini.

“Saya sayang Elite dan peminat yang sudah lama bersama seawal usia saya belasan tahun,” katanya. 

Pada Rabu, Linda memberi bayangan mahu menarik diri daripada kumpulan Elite selepas melalui beberapa ujian yang didakwa memberi kesan kepada kesihatan mental.

Linda berkongsi perkara itu menerusi hantaran yang dimuat naik di platform Threads miliknya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain