suria

[V] Fizi Ali hairan dengan tindakan Shakilla, minta maaf jika ada guris hati

PENYAMPAI radio Fizi Ali mengakui terkejut dengan kejadian yang berlaku  di Tanah Suci apabila timbul salah faham membabitkan bekas isterinya, aktres Shakilla Khoriri hingga mencetuskan kekecohan ramai.

Fizi atau Mohd Hafizudin Alimudin, 36, berkata hubungan komunikasi mereka sebelum ini tidak pernah bermasalah termasuk ketika masing-masing membawa Ameena Sofia pergi bercuti.

Malah dia beranggapan hubungan baik itu akan berterusan namun tidak menyangka muncul status yang mencetuskan kekeliruan sehingga menjadi perhatian ramai.

Luahan hati Shakilla mengenai anaknya.

“Saya sendiri terkejut bila jadi macam ini di Tanah Suci. Sebelum ini kami sentiasa berhubung. Kalau nak call atau mesej, dia akan tanya dulu Ameena. Tak pernah ada masalah.

"Kejadian ini tidak sepatutnya berlaku. Tapi tak tahu apa yang membuatkan dia jadi macam itu," katanya kepada mStar.

Fizi berkongsi perkara itu ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Pra-Kemuncak Anugerah Bintang Popular BH ke-37 (ABPBH 37) yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur pada malam Rabu.

Mengulas lanjut, Fizi berkata dia tidak pasti punca sebenar tercetusnya isu tersebut tetapi memilih memohon maaf sekiranya ada pihak tersinggung dengan caranya menguruskan anak.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mak dia kenapa tak call? Sebelum ini boleh mesej atau hubungi terus Ameena” - Fizi Ali

ARTIKEL BERKAITAN: Shakilla Khoriri dah sembilan hari tak dengar khabar Ameena - “Mungkin anak umi khusyuk menunaikan umrah sampai terlupa”

Katanya, sepanjang berada di Tanah Suci, fokusnya adalah kepada ibadah memandangkan ini merupakan umrah pertamanya, selain diuji dengan kesihatan anak bongsu dan isterinya, Siti Zulaikha, yang kurang sihat.

“Mungkin ada khilaf daripada saya. Jadi saya minta maaf pada mereka yang mungkin terasa hati atau rasa saya tidak bertanggungjawab. Dengan sepuluh jari saya minta maaf atas apa yang berlaku," ujarnya.

Bercerita mengenai Ameena semasa di sana, Fizi berkata kanak-kanak itu tetap mengingati Shakilla terutama ketika ingin membeli buah tangan untuk dibawa pulang.

Bila saya hantar anak semula pada dia, tiada masalah apa-apa pun.

FIZI ALI

PENYAMPAI RADIO

“Ameena ada saja ingat beli barang untuk mak dia. Tapi tak adalah sampai nak paksa hubungi sebab kami tengah umrah," tambahnya.

Dalam masa sama, Fizi berharap isu berkenaan tidak diperbesarkan dan dapat diselesaikan secara peribadi tanpa campur tangan pihak luar.

Katanya, ketika menghantar Ameena pulang kepada Shakilla selepas kembali dari Tanah Suci, semuanya berjalan lancar seperti biasa.

“Benda macam ini boleh saja mesej terus. Bila jadi besar, jadi tak syok. Saya tak pasti ada orang lain cucuk atau tidak, tapi lebih baik selesaikan secara privasi. 

"Bila saya hantar anak semula pada dia, tiada masalah apa-apa pun. Sudah selesai,” jelasnya.

Fizi menunaikan umrah bersama keluarganya.

Sebelum ini, Shakilla mendakwa sudah sembilan hari tidak mendengar khabar Ameena yang mengikui Fizi mengerjakan ibadah umrah. 

Untuk rekod Fizi dan Shakilla mengumumkan perceraian mereka pada Disember 2021 selepas empat tahun mendirikan rumah tangga.

Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Ameena yang kini berusia 6 tahun. 

Fizi kembali mendirikan rumah tangga dengan Zulaikha pada 23 Oktober 2023.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain