suria

Foto Lamborghini SVJ hanya salah faham, rupanya Syafiq Kyle beli G-Wagon

Lamborghini SVJ bukan milik Syafiq, sebaliknya aktor itu membeli kereta G-Wagon.

SEBULAN selepas kisah tular kononnya membeli Lamborghini SVJ, pelakon Syafiq Kyle akhirnya tampil dengan ‘kereta sebenar’ iaitu sebuah Mercedes-Benz G-Class atau lebih dikenali sebagai G-Wagon.

Perkara itu dikongsikan oleh seorang jurujual, Fuad Samsudin, yang memuat naik video di TikTok memaparkan dirinya menghantar kenderaan mewah tersebut kepada aktor filem Blood Brothers: Bara Naga itu.

“Selesai penghantaran kereta untuk Syafiq dan Mimi Lana,” tulisnya ringkas pada ruangan kapsyen.

Syafiq ketika menerima G-Wagon miliknya oleh penjual kereta.

Dalam video berkenaan, Syafiq atau nama penuhnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 33, kelihatan jelas teruja sambil meluahkan rasa syukur apabila impian memiliki jentera idaman akhirnya tercapai.

G-Wagon hitam milik pasangan selebriti itu turut dihias dengan riben merah besar, menambah lagi aura eksklusif pada SUV premium berpenampilan ikonik tersebut. 

Model G-Class memang terkenal dengan kemampuan off-road dan rekaan kotakannya yang evergreen.

Hasil tinjauan mStar, harga pasaran semasa G-Class 2025 di Malaysia pula bermula sekitar RM1.9 juta bagi varian AMG G 63, manakala model elektrik G 580 Electric berada dalam lingkungan RM958,888 hingga RM998,888.

ARTIKEL BERKAITAN: Naik beca kena caj RM1,100, Syafiq Kyle dan Mimi Lana terdiam nikmati suasana romantik kota London 

ARTIKEL BERKAITAN: Momen Syafiq Kyle santuni bapanya sentuh hati, peminat yakin mampu bahagiakan Mimi Lana

Dalam masa sama, Fuad mengambil kesempatan menjelaskan salah faham ramai mengenai dakwaan Syafiq membeli Lamborghini SVJ seperti yang pernah kecoh sebelum ini.

“Hari itu ada pihak yang kebetulan berada di showroom masa Syafiq datang tengok kereta. Mereka minta bergambar, kemudian buat posting yang mengelirukan.

"Memang dari awal dia plan nak cari G-Class. Ini baru kereta sebenar dia keluar,” jelasnya.

Sebelum ini, sebuah video memaparkan Syafiq bersama sebuah Lamborghini SVJ biru tular sehingga mencetuskan spekulasi kononnya pelakon itu membeli supercar bernilai antara RM2.3 juta hingga RM3.2 juta.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain