TERUS berusaha menjejaki bekas suami, pengacara Raja Azura mengambil pendekatan dengan menyiarkan iklan pencarian di akhbar bagi menyelesaikan tuntutan nafkah tiga anaknya di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Raja Azura atau nama sebenarnya Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 53, berkata langkah itu diambil selepas bekas suaminya, Adzmin Osman, menolak untuk memberi sebarang kerjasama secara baik terhadap penyerahan dokumen sebelum ini.
“Sebelum ini, penyerahan afidavit tidak berjaya selepas dia tidak mahu memberi maklum balas, jadi saya terpaksa memohon penyampaian ganti.

Raja Azura tuntut nafkah untuk tiga anaknya.
“Iklan itu sudah pun disiarkan pada Rabu dan saya berharap dia dapat hadir serta menjelaskan kepada mahkamah mengenai nafkah anak-anak,” katanya kepada mStar.
Raja Azura berkongsi perkara itu ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Pra-Kemuncak Anugerah Bintang Popular BH ke-37 (ABPBH 37) yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur pada malam Rabu.
Menurutnya, penyiaran iklan tersebut adalah perintah mahkamah bagi memastikan Adzmin dimaklumkan tentang tarikh sebutan kes meskipun tidak dapat dihubungi.
ARTIKEL BERKAITAN: Kes tuntutan nafkah tangguh, bekas suami Raja Azura gagal beri respons
ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 15 tahun bercerai, Raja Azura tuntut nafkah anak… “Saya tak mahu bergaduh dengan bekas suami”
Difahamkan, mahkamah menetapkan 3 Disember sebagai tarikh kehadiran Adzmin bagi prosiding tersebut.
“Bila iklan dah keluar, barulah saya boleh beritahu umum kerana itu perintah mahkamah. Saya harap dia hadir dan selesaikan apa yang perlu.
“Dia kena datang sendiri dan membuat pengakuan tentang hutang nafkah yang tertunggak sebelum kes boleh diteruskan,” jelasnya.
Saya pun tak tahu dia di mana, dan kalau saya cari sendiri, nanti jadi gaduh
RAJA AZURA
PENGACARA
Dalam masa sama, Raja Azura memaklumkan dia tidak berniat merayu, sebaliknya hanya mahu isu nafkah tiga anak mereka diselesaikan segera.
Malah sehingga kini, dia juga tidak pasti tentang keberadaan bekas suaminya itu.
“Saya bukan merayu… tidak. Saya cuma mahu dia hadir. Saya pun tak tahu dia di mana, dan kalau saya cari sendiri, nanti jadi gaduh.

Raja Azura mohon bekas suami tampil di mahkamah.
“Saya nak cara yang damai dan tenang. Kami pun dah berumur, takut nanti terkejut sakit jantung,” ujarnya.
Untuk rekod, Raja Azura dan Adzmin yang juga anak kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff, mendirikan rumah tangga pada tahun 2001.
Mereka kemudian bercerai pada 28 September 2010.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq Adzmin, 23; Megat Luqman Hakim Adzmin, 22; dan Puteri Mia Maizura Adzmin, 20 tahun.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


