PELAWAK dan anggota kumpulan Senario, Yassin Yahya meluahkan rasa syukur apabila rakan-rakan seangkatannya sentiasa menjaga aib serta tidak memburukkan keadaan ketika namanya hangat diperkatakan berhubung isu penahanan di Jeddah, Arab Saudi.
Yassin, 47, berkata, sebagai ahli paling muda dalam kumpulan itu, dia tahu abang-abangnya sentiasa mengutamakan keharmonian dan tidak sesekali menjatuhkan maruah ahli sendiri.
Tambah Yassin, ahli Senario juga lebih selesa jika dia sendiri memberi penjelasan tentang apa yang berlaku.

Ahli-ahli Senario tidak pernah buka aib Yassin.
“Yalah, saya adik paling bongsu. Walaupun dah tua, tetap bongsu. Kami dah hampir 30 tahun bersama, jadi saya dah masak dengan perangai abang-abang saya.
“Riuh dan ‘gila’ macam mana pun, mereka tak akan burukkan keadaan dan akan cuba tutup aib saya
“Mereka lagi suka kalau saya sendiri jelaskan. ‘Kau buat, kau jawab’… lebih kurang macam tu,” katanya kepada mStar.
Yassin berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Konsert The Last Kopek Senario: Union 30 Tahun yang berlangsung di Sunway Putra Hotel, Kuala Lumpur pada malam Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Idea kembali ke TV ditolak, Senario dianggap sudah tidak relevan
ARTIKEL BERKAITAN: Belum lagi ketuk pintu minta tolong, Saiful Apek syukur rezeki Senario tak putus-putus
Ditanya sama ada pengalaman tersebut meninggalkan kesan mendalam atau trauma, Yassin menegaskan dia memilih untuk melihat semua yang terjadi sebagai ujian hidup.
“Trauma tiada dalam kamus hidup saya. Kita tak tahu apa akan jadi pada masa depan. Kalau Allah nak uji lebih hebat pun saya tak tahu, jadi saya tak boleh nak riak.
“Macam-macam saya dah lalui sebelum ini. Apa yang jadi sebenarnya satu pengajaran untuk saya tempuh cabaran akan datang,” ujarnya.
Mereka tak akan burukkan keadaan dan akan cuba tutup aib saya.
YASSIN YAHYA
PELAWAK
Sebelum ini, kehilangan Yassin daripada program-program melibatkan Senario sejak penghujung tahun lalu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat.
Lebih menghangatkan keadaan, laporan media pada Oktober tahun lalu menyebut seorang pelawak Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah kerana disyaki memiliki ganja.
Ramai mengaitkan individu berkenaan dengan Yassin namun ahli Senario memilih untuk berdiam diri sehingga pelawak itu sendiri tampil menjelaskan keadaan sebenar.

Senario bakal adakan konsert sempena 30 tahun mereka dalam industri.
Yassin menegaskan dia tidak ditahan kerana penyalahgunaan dadah, sebaliknya ia merupakan salah faham melibatkan pihak berkuasa negara berkenaan.
Menurutnya, kegembiraan menunaikan umrah bersama 24 rakan artis veteran bertukar mimpi ngeri apabila dia ditempatkan di sebuah lokap khas tahanan berkaitan dadah.
Dia juga mengakui pada ketika itu dia sendiri tidak pasti apakah kesalahan sebenar sehingga ditahan selama enam bulan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


