suria

“Kalau dia sanggup tunggu 10 tahun” - Alicia Amin belum fikir soal kahwin, ambil masa sebelum bergelar isteri

Alicia tidak terburu-buru untuk kembali berkahwin.

PELAKON dan model, Alicia Amin, mendedahkan hubungan cintanya dengan teman lelaki masih berada pada fasa awal dan belum ada sebarang perancangan ke arah perkahwinan dalam masa terdekat.

Menurut Alicia atau Raja Alicia Raja Amin, 30, kedua-dua mereka memilih untuk tidak terlalu terburu-buru dalam menentukan hala tuju hubungan memandangkan masing-masing kini sibuk dengan urusan kerjaya.

“Kami okey sahaja sebab dia sedang fokus kepada perniagaan, manakala saya pula sibuk dengan karier seni. Jadi kami ambil pendekatan perlahan-lahan.

Alicia fokus pada kerjaya seni.

“Tiada apa-apa perkembangan besar tentang hubungan kami buat masa ini, lagipun kami baru dua tahun berkenalan. Kami mahu kenal hati budi dulu sebelum buat keputusan untuk ke fasa seterusnya,” katanya kepada mStar.

Alicia berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas tayangan perdana drama Saling Tak Terlihat yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada petang Selasa.

Bercakap lanjut Alicia mengakui dia kini lebih berhati-hati dalam soal cinta dan tidak mahu terburu-buru membuat keputusan hanya kerana tekanan atau pandangan orang sekeliling.

ARTIKEL BERKAITAN:Pas perjalanan tercicir di Jepun, Alicia Amin kagum pihak berkuasa berjaya temuinya - “Kalau di Malaysia memang kena reda”

ARTIKEL BERKAITAN: Alicia Amin cabar diri cakap dialek Sabah… Buku lali bengkak gara-gara babak aksi dalam filem ‘The Disappearance of Irdina Adhwa’

Malah, kata Alicia, teman lelakinya perlu bersabar dan memahami pendiriannya untuk menunggu waktu yang sesuai sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

“Saya dah berusia sedikit, jadi perlu ambil masa dan tidak mahu bercinta berkali-kali tetapi akhirnya tak ke mana. Saya tunggu masa yang betul-betul sesuai untuk kahwin.

“Kalau dia sanggup tunggu 10 tahun pun, maka itulah masanya,” ujarnya.

Alicia dan kekasih belum terfikir untuk ke fasa seterusnya dalam masa terdekat.

Untuk rekod, Alicia pernah mendirikan rumah tangga dengan Dr Farzan Iqbal pada Mac 2023, namun pasangan itu bercerai secara baik pada Mac tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Alicia bakal muncul dalam drama terbaharu berjudul Saling Tak Terlihat yang akan ditayangkan mulai 6 November ini di platform penstriman UTV.

Drama arahan Izuan Mokhtar itu turut menampilkan barisan pelakon popular antaranya Datuk Remy Ishak, Nora Danish, Fattah Amin, Raja Azmi, Datin Seri Umie Aida dan Aleza Shadan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain