MENGUTAMAKAN pemilihan watak dalam lakonan, aktres Mimi Lana terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana produksi kerana percaya setiap syarikat penerbitan ada kelebihan tersendiri.
Bagi Mimi atau Mimi Roziana Zainal Abidin, 30, kesungguhan pasukan produksi yang terlibat adalah penting dan disebabkan itu dia tidak hanya menerima tawaran dalam projek berskala besar.
“Sebenarnya, saya rasa semua pelakon sama sahaja. Kelebihan pelakon ialah apabila mereka suka bekerja dengan orang yang mempunyai semangat dan kesungguhan dalam kerja mereka. Itu yang menjadikan sesuatu produksi lebih mudah.

Mimi uatamakan jalan cerita sesebuah karya.
“Macam saya sendiri, saya suka bekerja dengan studio besar dan set yang besar. Tapi dalam masa yang sama, saya juga gemar bekerja dengan produksi bebas (independen).
“Ini kerana skrip produksi bebas selalunya lebih ‘grounded’, lebih dekat dengan realiti kehidupan. Berbeza dengan produksi studio yang biasanya menumpukan kepada cerita-cerita besar, meletup, atau lebih bersifat komersial,” katanya kepada mStar.
Berkongsi lanjut, Mimi berkata setiap pengalaman bekerja dalam produksi yang berbeza membantunya untuk berkembang sebagai seorang pelakon dan memahami lebih banyak gaya pengarahan serta suasana kerja.
Malah, kata Mimi, aspek bayaran bukanlah perkara utama yang menjadi pertimbangan apabila dia menerima sesuatu tawaran lakonan.
ARTIKEL BERKAITAN:“Rakyat Malaysia yang sanggup jadi tali barut Israel adalah pengkhianat sebenar negara” - Mimi Lana
ARTIKEL BERKAITAN: Naik beca kena caj RM1,100, Syafiq Kyle dan Mimi Lana terdiam nikmati suasana romantik kota London
“Namun, bagi saya kedua-duanya ada kelebihan masing-masing. Sama ada filem komersial atau produksi bebas, saya okay selagi berminat dengan watak yang diberikan.
“Dari segi bayaran pula, ia sebenarnya bergantung pada komitmen terhadap sesuatu projek... apa yang saya perlu lakukan dalam filem itu, berapa hari saya terlibat dan sejauh mana tanggungjawab saya dalam produksi tersebut. Itu perkara biasa bagi saya,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Mimi bakal tampil dengan filem terbaharu berjudul Polong yang dijangka ditayangkan pada tahun depan.

Bayaran bukan aspek utama Mimi memilih tawaran lakonan.
Filem tersebut mengisahkan tentang seorang wanita bernama Maria Hadi lakonan June Lojong, yang hidup bergelumang dengan amalan ilmu hitam dan dosa masa silam, namun cuba mencari keampunan menjelang akhir hayatnya.
Filem Polong, yang menelan kos penerbitan sebanyak RM3 juta, bakal menjalani penggambaran di tiga negeri iaitu Selangor, Melaka dan Johor.
Selain Mimi, filem arahan Zulkarnain Azhar itu turut dibintangi oleh Nadiya Nisaa, Nam Ron, June Lojong dan Fad Anuar.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


