FESTIVAL Filem Malaysia ke-34 (FFM34) mencipta kejutan apabila pelakon Syafiq Kyle dan Syazwan Zulkifly diumumkan sebagai pemenang bersama bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.
Kedua-dua pelakon itu berjaya menambat hati juri menerusi lakonan mantap dalam filem Blood Brothers: Bara Naga.
Dalam filem tersebut, Syafiq dan Syazwan membawakan watak adik-beradik yang penuh emosi dan konflik dalaman sekali gus meninggalkan kesan kepada penonton ketika tayangannya pada 10 April lalu.

Reaksi calon sebelum diumum pemenang.
ARTIKEL BERKAITAN: Saingan sengit, siapa bakal genggam trofi Pelakon Terbaik FFM34?
ARTIKEL BERKAITAN: Antara Blood Brothers, Babah, Reversi, Takluk dan Soloz, siapa bakal rangkul Filem Terbaik FFM34?
Kejayaan bersama itu menyaksikan Syafiq dan Syazwan menewaskan tiga calon lain iaitu Aedy Ashraff (Kahar: Kapla High Council), Shukri Yahya (Blood Brothers: Bara Naga) dan Eman Manan (Takluk: Lahad Datu).
Untuk info, filem arahan bersama Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra itu mengisahkan perjalanan hidup Ariff lakonan Syafiq Kyle yang direkrut oleh Ghaz (Sharnaaz Ahmad) untuk berkhidmat di bawah naungan Datuk Zul (Wan Hanafi Su), ahli perniagaan berpengaruh yang juga merangkap sebagai ketua Mafia Naga.
Sejak itu, Ariff mengangkat bai'ah setia sebagai pengawal peribadi elit dalam syarikat kawalan keselamatan dipanggil Silent Guard, sekali gus terikat sebagai Blood Brother kepada Ghaz.
Namun, ketika pengkhianatan dahsyat menggoncang dunia mereka, Ariff tiba-tiba dituduh sebagai pembelot dan dijadikan suspek utama.
Dalam keadaan terdesak membersihkan namanya, Ariff terpaksa melarikan diri dan mendapatkan bantuan abang kandungnya yang sudah lama terpisah, Jaki (Syazwan Zulkifly).
Sementara itu, Ghaz diamanahkan untuk memburu dan menangkap Ariff, lantas menyerahkannya kepada pengadilan keluarga Naga yang dahagakan balas dendam.
Selain Syafiq dan Syazwan, filem itu turut menampilkan lakonan Sharnaaz Ahmad, Irfan Zaini, Andy Teh, Ray Dap Dap, Shukri Yahaya, Amelia Henderson, Zamarul Hisham dan ramai lagi.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


