FESTIVAL Filem Malaysia ke-34 (FFM34) menyaksikan persaingan sengit lima karya hebat yang akan merebut gelaran Filem Terbaik sekali gus meraih ganjaran lumayan.
Lima calon berkenaan adalah Blood Brothers: Bara Naga, Babah, Reversi, Takluk: Lahad Datu dan Soloz: Game of Life yang masing-masing mempunyai keunikan tersendiri.
Pemenang kategori itu bakal membawa pulang Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta yang diumumkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Kementerian Komunikasi sebagai dorongan memperkukuh keupayaan filem tempatan ke peringkat antarabangsa.

TEO Nie Ching (kiri) umum pemenang Filem Terbaik bakal menerima dana DKK.
Ganjaran itu bukan sekadar hadiah kemenangan, tetapi menjadi dorongan strategik untuk memastikan karya unggul Malaysia terus mampu bersaing di pentas antarabangsa.
Jika meniliti secara keseluruhan, filem Blood Brothers: Bara Naga arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra dilihat sebagai calon paling berpotensi untuk merangkul trofi Filem Terbaik FFM34 berdasarkan jumlah pencalonan terbanyak dan pencapaian komersial luar biasa.
Blood Brothers: Bara Naga ini juga mempunyai kekuatan teknikal, pencapaian komersial dan penerimaan umum.
Mengangkat kisah persaudaraan, pengorbanan dan kepercayaan filem itu berjaya menimbulkan emosi walaupun digarap dalam bentuk filem aksi berskala besar.
ARTIKEL BERKAITAN: Blood Brothers: Bara Naga raih 13 pencalonan di FFM34
ARTIKEL BERKAITAN:Pemenang Filem Terbaik FFM34 bakal senyum lebar terima dana RM1 juta
Filem Babah karya Mohd Shah Faizul Ibrahim pula berjaya membawa pendekatan yang lebih lembut dan sentimental.
Filem Babah mengetengahkan hubungan kasih sayang antara bapa dan anak yang dibingkai dalam suasana sederhana tetapi menusuk ke dalam jiwa.
Penonton memuji kejujuran emosi dan keaslian naratifnya yang tidak berlebihan. Walaupun tempo ceritanya perlahan, Babah berjaya menyentuh hati kerana keikhlasan dalam penceritaan dan kekuatan lakonan para pelakonnya.
Reversi arahan Adrian Teh tidak kurang hebatnya apabila muncul dengan karya yang lebih eksperimental dan berani.

Takluk: Lahad Datu angkat tema patriotik.
Filem itu berjaya mengetengahkan tema psikologi dengan gaya visual dan struktur penceritaan yang tidak konvensional malah kecemerlangan Beto Kusyairi menzahirkan karakter yang kompleks dan sarat konflik.
Sementara itu, Takluk: Lahad Datu karya Zulkarnain Azhar pula mengangkat tema patriotik berdasarkan peristiwa sebenar yang pernah menggamit perhatian negara.
Mengambil dari kisah sebenar, filem ini memaparkan sinematografi realistik dan rekaan produksi yang menonjol.

Blood Brothers: Bara Naga terima jumlah pencalonan terbanyak.
Bagaimanapun, ada yang berpendapat jalan ceritanya sedikit mendatar dan kurang memberikan kedalaman emosi namun semangat serta keberanian yang ditonjolkan menjadikan Takluk tetap relevan dalam konteks pembikinan filem berunsur nasionalisme.
Tidak lupa, Solo: Game of Life arahan dari Syafiq Yusof tampil dengan tema yang jarang dibawa dalam sinema tempatan.
Meskipun mengambil idea dari e-sukan dan realiti digital namun kelemahan dari segi pembangunan watak dan penceritaan membuatkan filem itu belum cukup untuk bersiang namun percubaanya patut dipuji kerana berani membawa kelainan.

Babah berjaya bawa emosi penonton.
Apa jua keputusan yang bakal diumumkan pada malam Sabtu, kelima-lima naskhah ini membuktikan industri filem Malaysia sedang berada di landasan yang semakin matang.
FFM 34 bukan sekadar perayaan kepada karya terbaik, tetapi juga cerminan kepada semangat baharu penggiat seni yang berani bereksperimen dan menolak sempadan konvensional dalam penceritaan.
Malam kemuncak FFM34 yang akan dihoskan oleh Datuk Afdlin Shauki dan Che Puan Sarimah Ibrahim bakal berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri, Kota Media, Kuala Lumpur dan disiarkan secara langsung melalui saluran RTM TV2 serta platform YouTube FINAS pada jam 9 malam.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


