SELEPAS tampil dengan imej berhijab, penyanyi dan pengacara Elly Mazlein berkongsi pengalaman penghijrahan yang bukan sahaja memberi transformasi positif tetapi turut membawa beberapa dugaan dalam kerjaya seninya.
Elly atau Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 44, berkata, selepas berhijrah dia kehilangan beberapa tawaran kerja termasuk urusan yang sebelum ini pernah diatur.
Bagaimanapun Elly melihat dugaan itu sebagai satu ujian dan peluang untuk mencari rezeki lebih baik.
"Ada yang tanya macam mana lepas berhijrah, bagaimana dengan tawaran kerja. Saya faham kenapa soalan ini ditanya, semua orang ada komitmen dalam hidup. Jadi kita perlu kerja.

Elly berharap peminat sentiasa mendoakan kebaikan buat semua.
"Memang betul selepas penghijrahan ini ada kontrak yang tiba-tiba ditamatkan (tidak ada kena mengena dengan radio Era FM). Mana yang sudah berbincang tiba-tiba ada yang tarik diri.
"Macam-macam dugaan selepas berhijab tetapi saya percaya rezeki dari Allah dan datang dalam pelbagai cara. Kita manusia biasa memang ada perasaan risau, tapi apa yang saya boleh kongsi tak perlu rasa takut," katanya.
Elly berkongsi perkara itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Khamis.
Dalam pada itu, Elly turut tampil menjelaskan mengenai video yang mungkin bakal ditayangkan ketika dia belum berhijab kerana sudah dirakam sebelum penghijrahannya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiada istilah percubaan, Elly Mazlein mula berhijab... Suami cium dahi tanda sokongan
ARTIKEL BERKAITAN: Ramai minta tukar, Elly Mazlein muktamad pilih gaya sama - "Terima kasih Malaysia"
Kata Elly, dia tidak mahu timbul kekeliruan dalam kalangan peminat berhubung penampilannya yang kini sudah bertudung.
"Saya buat video ini sebab rasa terpanggil. Sekarang ini ramai mendoakan yang baik-baik buat saya. Saya percaya selepas ini akan ada keluar video-video yang mana kita sudah shooting ketika saya masih tidak bertudung.
"Jadi saya tidak mahu ada yang keliru memikirkan saya ini pakai tudung atau tidak, kejap pakai kejap tidak. Sebelum perkara ini berlaku, lebih baik saya beritahu sekarang.
"Benda dah lama shooting, tambah pula melibatkan ramai artis jadi ada beberapa faktor menyebabkan video tersebut harus disiarkan. Saya harap supaya tidak berlaku kekeliruan," ujarnya.
Dalam masa sama, Elly turut mendoakan agar semua yang mengikuti perjalanan hidupnya diberikan kebaikan dan rezeki yang berpanjangan.
"Hilang dua tiga job insya-Allah akan ganti dengan lain. Kalau Allah dah cakap itu rezeki kita, ia tetap rezeki kita.

Elly mula berhijab sejak 2 Oktober lalu.
"Saya berharap terus dapat sokongan daripada peminat, doakan yang terbaik untuk saya. Saya pun akan doakan yang baik-baik buat anda semua.
"Semoga kita murah rezeki, dipanjangkan umur, disayangi dan dikelilingi orang yang baik-baik. Itu juga antara rezeki. Insya-Allah kita buat saja, selebihnya serah kepada Allah," katanya.
Pada 4 Oktober lalu, Elly tampil bertudung di pentas akhir Kilauan Emas 2025 yang berlangsung di Royale Theatre Shah Alam, Selangor.
Elly bagaimanapun menegaskan tidak mahu mengulas lanjut mengenai keputusannya itu, namun berharap agar semua pihak dapat mendoakan terbaik buat dirinya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


