ENGGAN dipandang sebagai pelakon stereotype, aktres Sherry Ibrahim terbuka untuk menerima cabaran membawa pelbagai watak dalam drama atau filem.
Kata Sherry atau Syarizad Ibrahim, 42, dia juga sedia memberi kelainan termasuk jika perlu mengubah penampilan demi menjayakan sesebuah karakter.
Sebagai anak seni dia mahu terus membuktikan bakat agar penonton merasai perbezaan dalam setiap hasil kerjanya.

Sherry terbuka menerima pelbagai cabaran dalam watak lakonan.
"Saya tiada masalah untuk membawa watak tanpa solekan atau kelihatan buruk. Namun kebelakangan ini tidak mendapat tawaran sebegitu. Kebanyakannya hanya watak bekas model atau anak orang kaya.
"Kalau boleh saya mahukan watak seperti orang gila, aksi atau wanita dalam penjara yang mana saya boleh menjiwai. Dalam usia begini saya nak watak-watak yang lebih memberi jiwa.
"Saya mahu terus berkarya dengan pelbagai karakter. Namun apa yang datang semua itu adalah rezeki," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] “Tidak patut imbau kisah lama saya” - Sherry Ibrahim minta netizen ‘move on’, ungkit sejarah silam sebagai buli siber
ARTIKEL BERKAITAN: Sherry Ibrahim minta jangan ungkit kisah lalu... “Saya sendiri sudah reda dan berdamai dengan takdir”
Sherry juga bersyukur kerana masih diberi kepercayaan bergandingan dengan pelakon yang jauh lebih muda daripadanya sebagai teraju utama sesebuah karya.
Bagi menghidupkan setiap jalan cerita, dia juga amat mengambil berat soal penampilan agar tidak kelihatan canggung apabila ditayangkan.
"Setakat ini masih belum terima watak ibu yang memiliki anak dewasa. Saya masih lagi diberi peluang untuk berganding dengan hero usia 30-an. Apabila diberi peluang sebegitu saya akan buat sahaja.

Sherry bersama pelakon dan kru produksi drama #Fyp.
"Namun jika dapat hero lebih muda, saya kena jaga penampilan. Itu juga satu cabaran dalam sesebuah drama. Saya kena pastikan gaya penampilan sesuai dengan pelakon gandingan," ujarnya.
Terbaharu, Sherry tampil membawakan watak Profesor Senah dalam drama berjudul #Fyp yang bakal ditayangkan bermula 12 September ini di saluran TV2.
Menurutnya drama kali ini menunjukkan satu sisi berbeza kerana perlu berbahasa Mandarin.
Selain Sherry drama ini turut menampilkan pelakon lain seperti Daniesh Suffian, Rezza Shah, Bella Astillah dan Wanna Ali.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


