suria

Farah Ann mahu ceburi dunia lakonan selepas umum bersara... "Saya dah masuk kelas, harap ada rezeki lagi"

Farah mahu ceburi bidang lakonan pula.

BEKAS ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi kini sedang mengintai peluang dalam bidang seni sebagai pelakon selepas tiga tahun meninggalkan sukan itu.

Farah, 31, berkata dia sudah mengikuti beberapa kelas lakonan sebagai persediaan sebelum bergelar anak seni.

Katanya dia juga ada menyertai kelas lakonan bersama pelakon hebat, Sofia Jane selain turut belajar secara dalam talian.

Farah bakal melakukan kemunculan pertama di drama bersiri Generasi Perfect 10.

Farah bakal melakukan kemunculan pertama di drama bersiri Generasi Perfect 10.

“Saya harap ada tawaran berlakon pada masa akan datang sebab saya memang nak ceburi bidang ini. Saya sudah mula masuk kelas lakonan dan cuba untuk perkenalkan diri dalam industri ini,” katanya kepada mStar.

Farah ditemui ketika hadir ke tayangan perdana Generasi Perfect 10 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada malam Khamis.

Bercerita lanjut, Farah mengakui sejak di bangku sekolah dia menyimpan minat dalam bidang lakonan apabila aktif menyertai teater dan drama.

"Masa sekolah dulu saya selalu masuk teater, drama sampai ada yang cakap kalau saya bukan atlet, mungkin saya dah jadi pelakon. Saya harap masih ada peluang itu," kongsinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Terima kasih dunia gimnastik! Farah Ann ucap selamat tinggal selepas 25 tahun

ARTIKEL BERKAITAN: Jika dulu bermain patung Barbie, kini ratu gimnas Farah Ann teruja dirinya boneka edisi khas kempen global

Sebagai bekas atlet gimnastik, Farah mengakui teruja kalau diberi peluang untuk membawakan watak aksi yang memerlukan pergerakan fizikal.

Malah dia bersedia untuk digandingkan dengan mana-mana pelakon asalkan dapat menambah pengalaman lakonannya.

“Saya suka watak aksi dan masih boleh melompat lagi. Tapi buat masa ni saya nak cuba pelbagai watak. Apa yang penting saya boleh menjiwai watak itu dengan baik,” jelasnya.

Dalam pada itu, Farah memberitahu dia menjadikan Lisa Surihani dan Diana Danielle sebagai idola dalam dunia lakonan kerana kagum dengan cara mereka menghayati watak.

Farah sudah bersedia bergelar pelakon.

Farah sudah bersedia bergelar pelakon.

“Saya suka tengok lakonan Lisa dan Diana, mereka sangat mendalami watak dan berjaya buka mata saya tentang dunia seni," ujarnya.

Untuk info, Farah mengumumkan persaraannya daripada dunia gimnastik pada tahun 2022 selepas lebih dua dekad mewakili negara.

Sepanjang kariernya, Farah mencipta pelbagai kejayaan membanggakan, termasuk layak beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dia juga antara gimnas paling berjaya dalam sejarah Sukan SEA apabila meraih tujuh pingat emas menerusi penampilan di Singapura (2015), Kuala Lumpur (2017) dan Manila (2019).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia