suria

Angeline Tan terharu terima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul 2025, ucap terima kasih pada suami... "Kalau bukan sebab Sabri saya tak dapat hayati Islam"

Angeline berterima kasih kepada Sabri kerana membimbingnya selama ini.

PELAKON Angeline Tan dianugerahkan Tokoh Maulidur Rasul 2025 bagi Kategori Saudara Baru Cemerlang sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada Jumaat.

Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam satu majlis penuh istiadat yang turut dihadiri pemimpin negara serta para agamawan.

Berkongsi perasaannya, Angeline, 57, mengakui tidak menyangka dirinya dipilih menerima anugerah tersebut dan menyifatkan ia sebagai satu penghormatan besar dalam hidupnya.

Angeline terharu dianugerahkan Tokoh Maulidur Rasul 2025.

“Saya rasa sangat bersyukur dan terharu. Macam tak percaya dipilih untuk terima anugerah yang sangat besar pada hari penuh keberkatan ini,” katanya kepada media.

Angeline memeluk Islam pada 26 September 2023 dan sejak itu aktif menyertai pelbagai program dakwah serta perkongsian ilmu bagi memperkenalkan Islam kepada masyarakat bukan Muslim.

Tambah Angeline, anugerah tersebut bukan hanya sekadar pengiktirafan, malah menjadi pemangkin semangat untuk terus memperjuangkan misi dakwahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Perkahwinan dengan Angeline Tan ada hikmah, Sabri Yunus semakin rajin dalami ilmu agama - “Senang nak terangkan pada isteri”

ARTIKEL BERKAITAN: [V] ‘Job’ berlakon kurang sejak bergelar mualaf, Angeline Tan guna masa lapang dalami agama Islam

“Sejak saya masuk Islam, saya pernah kata pada diri sendiri, misi saya adalah untuk sebarkan Islam yang sebenar.

“Saya nak bantu orang bukan Islam faham agama ini dengan betul, supaya tak ada lagi salah faham. Bila semua faham, insya-Allah negara jadi lebih aman dan damai.

“Anugerah ini beri saya satu semangat baru. Ini adalah perjalanan panjang sejak saya memeluk Islam. Saya harap Allah terus beri saya peluang dan ruang untuk buat apa yang saya hajatkan selama ini,” ujarnya.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ketika menyampaikan anugerah kepada Angeline.

Dalam pada itu, Angeline turut menzahirkan penghargaan kepada suaminya, pelakon dan pengarah Sabri Yunus yang banyak membimbingnya sepanjang perjalanan memeluk dan memahami Islam.

"Anugerah ini juga saya titipkan buat Sabri dan keluarga.

“Kalau bukan sebab Sabri saya tak dapat hayati Islam,” jelasnya

Untuk rekod, Angeline dan Sabri mendirikan rumah tangga pada 14 Oktober 2023 dalam sebuah majlis tertutup di Kangar, Perlis.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia