LEBIH sedekad bergelar ibu tunggal, pelakon dan penyanyi, Liza Abdullah memilih untuk tidak terlalu terbuka berkongsi soal jodoh dengan umum.
Menurut Liza atau nama sebenarnya Norliza Abdullah, 61, dia lebih selesa menyimpan hal peribadi untuk diri dan keluarga.
“Biarlah dulu. Bukan tak nak kongsi, tapi ada benda boleh kongsi, ada benda tak boleh kongsi,” katanya kepada mStar.

Liza tidak mahu ulas kisah peribadi.
Liza berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Teater Cik Ros di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada Khamis.
Meskipun sering menjadi perhatian peminat, Liza tetap berhati-hati agar tidak membuka ruang yang boleh mengundang fitnah atau menyinggung pihak lain.
“Kita terima kenyataan orang nak tahu tentang kita. Kalau boleh tutup, kita tutup.
“Mudah saja, jangan buka aib orang. Kita sendiri pun banyak aib buruk,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Liza Abdullah Rindu Bidang Nyanyian
ARTIKEL BERKAITAN: Meletop dengan watak 'Mak Leha', pernah berduet dengan Ringgo (Arrow) lagu 'Samarenda'... ini 10 fakta tentang Liza Abdullah
Pelakon drama bersiri 7 Hari Mencintaiku itu turut menekankan kepentingan meninggalkan legasi yang baik apabila sudah tiada nanti.
“Bila kita sudah tiada, kita nak tinggalkan benda yang baik-baik. Sekarang ini banyak benda menakutkan. Dekat media sosial, kalau terlepas cakap, memang tak boleh tarik balik,” jelasnya.
Untuk rekod, Liza pernah berkahwin dengan Allahyarham Zolkifli Abdul Rahman pada 1988. Namun, selepas 26 tahun hidup bersama, mereka berpisah pada 24 Februari 2014.

Liza dan bekas suami ketika melangkah keluar dari Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 2014.
Pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata.
Dalam perkembangan lain, Liza bakal muncul dalam teater Cik Ros yang dipentaskan pada 19 hingga 21 September ini di Auditorium DBP.
Selain Liza, artis lain yang turut membintangi teater berkenaan ialah Amy Mastura, Datuk Tamimi Siregar, Datuk Ziela Jalil dan Juhara Ayob.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


