PELAKON Taiyuddin Bakar memberitahu dia masih diberi tawaran berlakon namun ada ketika memilih untuk tidak menerimanya atas alasan tertentu.
Meskipun ada yang menyangka dirinya kini menyepi daripada dunia hiburan, kata Taiyuddin atau Salehuddin Abu Bakar, 42, hakikatnya dia bersikap lebih selektif demi menjaga kualiti kerja dan keselesaan diri.

Taiyuddin masih menerima tawaran lakonan.
"Sampai hari ini, ada sahaja tawaran lakonan. Tapi saya rasa bosan nak buat. Saya okay sahaja kalau orang anggap saya tiada kerja.
"Cuma kalau saya nak buat sesuatu, saya nak buat dalam keadaan yang gembira. Jika hati tak tenang, saya rasa lebih baik saya tak buat," katanya kepada mStar.
Menurut Taiyuddin, antara sebab utama dia menolak sesetengah tawaran adalah kerana produksi yang memberikan notis terlalu singkat termasuk permintaan untuk hadir ke set penggambaran dalam tempoh terdekat.
ARTIKEL BERKAITAN: Dulu depan kamera, kini belakang but kereta… Taiyuddin Bakar ketepi populariti jual nasi berlauk RM5
ARTIKEL BERKAITAN: 9 tahun bersabar, akhirnya Taiyuddin Bakar jadi bapa... Tak pernah ikhtiar zuriat cuma tawakal kepada Allah
"Saya sebenarnya rasa turn off bila dapat tawaran tapi diminta datang set esok. Benda begitu saya memang tak boleh.
"Takut kerja jadi tergesa-gesa, dan saya tak dapat sampaikan lakonan dengan baik.
"Akhirnya orang akan persoalkan prestasi saya sebagai pelakon. Saya pula jenis tak suka menyusahkan orang," ujarnya.

Taiyuddin aktif sebagai vokalis kumpulan Uncure.
Tambah Taiyuddin, bekerja dalam keadaan tidak terancang bukan sahaja memberi tekanan, malah boleh menjejaskan keseluruhan kualiti sesebuah produksi.
"Benda last minute ini memang saya cuba elak. Bila tergesa-gesa, kita tak sempat nak buat persediaan, tak faham skrip betul-betul.
"Saya tak letak sebarang syarat pun sebenarnya, cuma mungkin cara kerja saya berbeza daripada orang lain," jelasnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


