MALAM Sabtu menjadi momen indah buat peminat Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza apabila beliau tampil mengadakan konsert Violet Skies yang berlangsung dengan penuh meriah di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang.
Lebih 4,600 penonton memenuhi ruang dewan konsert yang bermula tepat pukul 8.30 malam dan suasana bertambah ceria apabila kebanyakan peminat tampil menggayakan pakaian bertemakan ungu bagi menyahut aura dan semangat Violet Skies.
Sepanjang dua jam setengah persembahan, penyanyi tersohor itu mendendangkan lebih 20 buah lagu yang merangkumi karya-karya ikonik serta lagu-lagu pilihan istimewa yang jarang dipersembahkan di pentas besar menjadikan konsert kali ini penuh kejutan dan variasi.
Konsert Siti berlangsung selama dua jam setengah.
Pembukaan dimulakan dengan penuh bersemangat menerusi lagu Aku Cinta Padamu, diikuti Pendirianku, Beradu Di Khayalan dan Seindah Biasa yang terus membangkitkan sorakan serta semangat para Sitizoners.
Selepas beberapa lagu, kemunculan istimewa anak saudara Siti Nurhaliza iaitu Ahmad Dayyan mencuri perhatian apabila tampil menyampaikan lagu Seribu Kemanisan dan Azimat Cinta.
Ternyata, Ahmad bukan sekadar membawa nama besar ibu saudaranya, tetapi hadir dengan kelunakan vokal tersendiri yang berjaya memikat hati penonton hingga membuatkan ramai memuji kehadiran bintang baharu itu.
Selain itu, kemunculan Noh Salleh sebagai artis undangan turut memberikan suntikan segar dan semangat berbeza kepada keseluruhan konsert.
ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza spontan nyanyi lagu ‘Percayalah’ di konsert Rossa, satu stadium bersorak
ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza mohon maaf, terkhilaf promosi produk tanpa selidik
Gabungan vokal Siti dan Noh menerusi duet lagu Bengawan Solo, Rahsia Tuhan dan Pagi Yang Gelap menjadikan malam itu sarat dengan emosi dan tenaga luar biasa,
Kejutan demi kejutan, Siti juga menampilkan semula segmen medley rock yang mendapat sambutan hangat pada konsert sebelum ini.
Menyampaikan tiga buah lagu iaitu Tika dan Saat Ini, Di Alam Fana Cintamu dan Seribu Tahun Takkan Mungkin membuktikan versatiliti Siti sebagai seorang penyanyi yang versatil.
Konsert ditutup dengan lagu yang berusia 27 tahun iaitu Kita Kan Bersama membuatkan penonton turut menyanyi dan menari bersama pernyanyi nombor satu negara itu.
Noh tampil sebagai penyanyi undangan di konsert Siti.
Dalam masa sama, Siti juga memberi bayangan bakal muncul dengan konsert tradisional yang dinanti-nantikan ramai pada tahun hadapan.
“Dah boleh mula kumpul duit dari sekarang. Kalau ada rezeki, kita jumpa lagi dalam konsert tradisional tahun depan,” katanya berseloroh.
Pendapat penulis, konsert kali ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi boleh dianggap sebagai ‘pemanas badan’ menjelang sambutan ulang tahun ke-30 kerjaya nyanyian Siti pada tahun depan.
Nyanyian Amad memukau penonton di Arena Of Stars.
Aura dan penguasaan pentas Siti jelas membuktikan kenapa beliau masih relevan selepas hampir tiga dekad dalam industri.
Vokalnya kekal padu, emosi yang disampaikan sampai ke hati, dan persembahannya mampu membuatkan penonton terpaku dari awal hingga akhir.
Secara keseluruhan, Violet Skies bukan sekadar sebuah konsert, ia adalah sebuah pementasan istimewa, penuh emosi, warna dan cinta, menjadikan ia malam yang akan kekal dalam ingatan setiap yang hadir.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube