BEBERAPA hari menjelang tarikh pernikahan, pelakon dan penyampai radio Neera Azizi tidak senang duduk memikirkan persiapan bergelar isteri.
Seperti kebanyakan bakal pengantin, Neera atau atau Nurazneera Azizi, 27, mahu apa yang dirancang berjalan lancar terutama perkara melibatkan keselesaan tetamu yang hadir nanti.
"Selagi majlis belum berlangsung ada sahaja yang tak kena. Memang tak dapat nak tidur lena. Persiapan majlis semua sudah siap, tetapi biasalah di saat-saat akhir banyak benda yang saya fikir.
Neera berdebar menunggu hari sah bergelar isteri.
"Paling penting buat saya adalah baju dan makanan. Biar makanan berlebih kerana saya tak mahu tetamu yang datang nanti tak cukup makan.
"Syukur keluarga banyak membantu. Tetapi mereka akan bertanya dahulu kepada saya dan tunang sebab ini majlis kami. Jadi kalau boleh mahu ada cita rasa sendiri," katanya ketika dihubungi mStar.
Neera bakal bernikah dengan jejaka pilihannya yang dikenali sebagai Hafizi pada 11 Julai ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Banyak tolak tawaran, Neera Azizi belum berhenti berlakon... Kini bergelar penyampai radio
ARTIKEL BERKAITAN: Neera Azizi nikah tahun depan, pilih mutawif sebagai bakal suami... Berkenalan selepas tunai umrah
Bukan hanya soal majlis yang bermain di fikiran, malah dia juga akui gementar untuk memulakan fasa baharu sebagai seorang isteri.
"Tanggungjawab sebagai seorang isteri itu besar, saya yakin lepas berkahwin saya lebih faham semua hal. Ini semua adalah proses pembelajaran. Saya bukannya pandai nak uruskan rumah tangga sebab belum pernah berkahwin.
"Dalam bab memasak pun saya akui kurang pandai. Syukur bakal suami hebat di dapur,” ujarnya.
Neera dan Hafizi bertunang pada Oktober tahun lalu.
Bercakap soal kerjaya selepas berkahwin, Neera memberitahu Hafizi tidak mempunyai sebarang masalah untuk dia terus aktif berlakon.
"Hasil perbincangan bersama, kami akan teruskan kerjaya seperti biasa. Dia seorang mutawif dan saya teruskan dalam dunia seni. Cuma perlu tahu batas agar tidak berlebihan.
"Sekarang pun saya masih lagi aktif berlakon, tetapi memilih watak selepas berhijab. Tidak boleh lagi berlakon dengan pakaian seksi," kongsinya.
Untuk rekod Neera dan Hafizi bertunang pada Oktober tahun lalu selepas setahun berkenalan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube