suria

Penerbit rungkai misteri kehilangan peneroka Bukit Fraser, terbawa-bawa sampai dalam mimpi

Josiah Hogan memegang watak utama di dalam Misteri Fraser 1910.

SIAPA sangka, di sebalik keindahan destinasi percutian Bukit Fraser, Pahang, tersembunyi sebuah misteri yang belum pernah terungkai sehingga ke hari ini.

Misteri tersebut menjadi pencetus kepada pembikinan filem biografi thriller berjudul Misteri Fraser 1910, apabila penerbit dan penulis skripnya, Elani Adid, cuba menyelami dan merungkai kehilangan seorang peneroka dari Scotland, Louis James Fraser.

Menurut Elani, idea filem ini tercetus ketika dia mencari lokasi penggambaran untuk sebuah filem lain di Bukit Fraser sekitar enam tahun lalu.

Elani teruja lihat hasil kerjanya menjadi filem.

“Ketika berada di sana, kami terbaca tentang sejarah Mr Fraser yang hilang secara misteri selepas menemui lubuk bijih timah, dan sehingga kini tidak pernah ditemui.

“Malah, terdapat beberapa laluan mendaki di kawasan itu yang dinamakan sempena individu yang terlibat dalam usaha pencarian beliau, seperti ‘Bishop Trail’ dan ‘Abu Suradi Trail’.

“Ia mencetuskan minat saya untuk mengkaji lebih lanjut dan akhirnya mencipta teori fiksyen mengenai kehilangan tokoh tersebut. Dari situlah filem ini mula terbentuk,” katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Belum tayang, Misteri Fraser 1910 dah menang anugerah antarabangsa

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri kehilangan peneroka Bukit Fraser dijadikan filem, penerbit dapat ilham selepas baca kisahnya

Elani turut berkongsi bahawa keinginannya untuk merungkai misteri itu semakin kuat apabila kisah-kisah berkaitan turut hadir dalam mimpinya sejurus pulang dari lawatan tersebut.

Dia juga memperkenalkan beberapa watak fiksyen dalam filem tersebut yang diilhamkan sepenuh daripada mimpi-mimpinya.

“Sebaik saja saya pulang dari kawasan itu, saya bermimpi tentang watak Isyani yang mempunyai kaitan dengan misteri kehilangan Mr Fraser.

“Apabila saya bangun keesokan harinya, saya terus beritahu suami (Amai Kamarudin), saya mahu hasilkan sebuah filem berdasarkan misteri tersebut. Malah, mimpi saya turut dimasukkan dalam naratif filem ini,” jelasnya lagi.

Misteri Fraser 1910 kisah seorang peneroka buka lombong bijih timah.

Tambah Elani, tujuan utama filem ini bukan untuk mengangkat kisah individu luar, tetapi mengetengahkan sebuah misteri sejarah yang berlaku lebih 115 tahun lalu.

“Saya sedar filem ini mungkin dikritik kerana dianggap mengangkat kisah Fraser. Tetapi sebenarnya, apa yang ingin saya tonjolkan bukan sekadar misteri kawasan itu, sebaliknya rahsia yang disimpan oleh Mr Fraser sendiri,” ujarnya.

Misteri Fraser 1910 mengisahkan Mr Fraser lakonan Josiah Hogan yang membuka Bukit Fraser pada 1890 serta mendapat kekayaan hasil dari perlombongan bijih timah di situ.

Misteri Fraser 1910 terselit fiksyen.

Dia juga membangunkan kawasan tersebut menjadi pusat bandar dan pertemuan sosial warga elit terutama tentera British.

Namun pada satu hari di tahun 1910, Mr Fraser hilang secara misteri dan meninggalkan seribu teka-teki kerana banglo serta perniagaannya ditinggalkan begitu sahaja.

Filem yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 26 Jun ini turut menampilkan pelakon lain seperti Amai Kamarudin, Siti Hariesa, Erry Putra, Isyariana dan A Galak.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain