FASIH berbahasa Melayu, pastinya membuat ramai tidak menyangka pelakon dan ratu cantik Shweta Sekhon berbangsa Punjabi.
Shweta atau nama lengkapnya Shwetajeet Kaur Sekhon, 28, berkata dia sebenarnya kurang mahir bertutur dalam bahasa ibundanya sehingga perlu mempelajarinya semula demi membawa watak Doktor Malini dalam filem Keluang Man.
Kata Shweta, watak Doktor Malini memerlukan dia bertutur dalam bahasa Punjabi dan ia cabaran besar bagi dirinya kerana jarang menggunakan bahasa tersebut dalam kehidupan seharian.
Shweta berjaya bawa watak Doktor Malini dengan baik.
Cerita Shweta, demi terlihat lancar berbahasa Punjabi di hadapan kamera, dia terpaksa meminta bantuan neneknya dan pelakon Anwaar Beg Moghal ketika di set penggambaran.
"Sejujurnya, saya lagi fasih berbahasa Melayu berbanding bahasa ibunda (Punjabi) sendiri sebab saya sekolah kerajaan, manakala kawan karib semua orang Melayu.
"Tak pernah cakap bahasa ibunda tetapi sebab filem Keluang Man saya ambil peluang duduk dengan nenek dan buat kerja rumah.
ARTIKEL BERKAITAN: Anggap kemenangan 2 negara, rakyat Filipina hantar mesej sokongan buat Miss Malaysia
ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia menang 'Kostum Kebangsaan Terbaik' Miss Universe 2019
"Saya mula cakap balik bahasa Punjabi dan bukan tengok cerita Hindustan tetapi cerita Punjabi. Anwaar juga lebih fasih, jadi dia banyak tolong saya," katanya.
Shweta berkongsi perkara itu ketika ditemui di Malam Gala Kluang Man yang berlangsung di Putrajaya pada malam Khamis.
Bukan sekadar bersandarkan skrip, dia juga mengulangi kaji mengenai siri popular animasi Keluang Man sebelum masuk ke set penggambaran.
Saya memang kena buat kajian sendiri.
SHWETA SEKHON
PELAKON
Katanya, dapat terlibat dalam filem itu sangat membanggakan memandangkan keluarganya juga pengemar siri animasi itu.
"Pada hari saya dapat skrip, saya terus buat kerja rumah. Ibu saya semua tahu Keluang Man tetapi saya bukan generasi itu.
"Jadi, saya memang kena buat kajian sendiri. Untuk angkat karakter dari sebuah animasi popular, saya kena faham siapa Doktor Malini (karakter)," ujarnya.
Shweta sahut cabaran Keluang Man.
Keluang Man adalah siri animasi popular yang diperkenalkan pada akhir era 1990-an yang berjaya mencipta fenomena tersendiri serta menjadi kebanggaan Malaysia.
Filem aksi superhero ikonik Malaysia bakal menemui penonton bermula 29 Mei ini di seluruh pawagam di Malaysia.
Karya arahan Anwari Ashraf ini turut membariskan pelakon seperti Nas-T, Remy Ishak, Anwaar Beg Moghal, Datuk Rosyam Nor, Halim Othman, Amelia Henderson, Sham Sunder, Dennis Yin dan ramai lagi.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube