suria

Kontroversi tak jejaskan kerjaya, Zehra Zambri pertahan sebab wanita fail cerai

Kontroversi yang menimpa Zehra tidak memberi kesan terhadap kerjaya seninya.

PENYANYI Zehra Zambri menepis tanggapan sesetengah pihak yang mudah melabelkan golongan wanita cenderung untuk memfailkan cerai apabila  berlaku masalah dalam rumah tangga. 

Bagi Zehra, 38, pasti ada alasan tertentu jika seseorang berbuat demikian termasuk dirinya yang melakukan tindakan sama terhadap suami iaitu Nur Mohd Iqwan Samsudin. 

"Semua wanita mahukan kebahagiaan, lebih-lebih lagu bagi yang sudah memiliki cahaya mata. 

"Saya tak bersetuju tanggapan wanita cenderung failkan cerai kerana apa yang berlaku mesti ada sebabnya, sama ada wanita itu mahu bercerita atau tidak.

Zehra menepis tanggapan melabelkan golongan wanita cenderung untuk memohon cerai.

"Tidak sewenang-wenangnya wanita akan minta cerai," katanya kepada mStar.

Zehra berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Konsert Tradisional 'Simfoni Budaya II' di Dewam Filharmonik Petronas (DFP) yang diadakan di Hotel Traders, Kuala Lumpur pada Khamis. 

Penyanyi ini memfailkan cerai pada 7 Mac lalu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi dan perbicaraan masih lagi berjalan. 

Sementara itu Zehra juga memberitahu kontroversi yang menimpa dirinya tidak memberi kesan terhadap kerjaya seni kerana masih lagi menerima banyak tawaran menyanyi.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes keganasan rumah tangga dibuka semula, Zehra Zambri dan suami dipanggil beri keterangan

ARTIKEL BERKAITAN: Zehra Zambri tutup aib suami, tidak lagi tinggal sebumbung

Malah dia juga cukup profesional dan komited terhadap kerjaya meskipun berdepan masalah peribadi. 

"Alhamdulillah... saya masih menerima tawaran menyanyi dan kerjaya saya tidak kena tempias kontroversi yang berlaku. 

"Saya yakin apa sahaja tawaran kerja yang diterima adalah berdasarkan bakat yang Allah beri, bukan kerana kontroversi.

Tidak sewenang-wenangnya wanita akan minta cerai. 

ZEHRA ZAMBRI

PENYANYI

"Saya sangat profesional. Saya sudah laluinya ketika menyertai Gegar Vaganza 11. Saya lupakan semua hal dan tidak berkongsi kepada umum," ujarnya.

Untuk rekod, Zehra mendirikan rumah tangga dengan Nur Mohd Iqwan Samsudin pada 10 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Zahiyah Iqleela yang kini berusia tiga tahun.

Sebelum itu, Zehra pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri Wan Mohd Effendi pada 14 Oktober 2017 namun ikatan itu hanya bertahan selama enam bulan sebelum bercerai pada April 2018.

Kontroversi tidak menghalang Zehra untuk meneruskan kerjaya nyanyian.

Dalam perkembangan lain, Zehra bakal membuat persembahan di Konsert Tradisional 'Simfoni Budaya II' Di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) yang berlangsung pada 5 Julai ini.

Konsert tersebut akan dibarisi gabungan artis veteran dan generasi baharu termasuk Datuk Andre Goh, Hazra Dollah, Danial Chuer dan Rojer Kajol.

Dipimpin oleh Ahmad Muriz Che Rose, Konsert Simfoni Budaya II ini menyaksikan rangkuman tradisi muzik yang mengangkat irama keroncong dan ghazal ke peringkat lebih tinggi melalui gubahan orkestra.

Peminat boleh mendapatkan tiket konsert dengan harga bermula RM179 hingga RM449.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain