suria

Boikot penerbit ingkar, ambil ringan bahaya Covid-19 - “Apa salahnya kali ini untuk seumur hidup patuh arahan kerajaan”

Presiden FDAM memandang serius bahaya penularan wabak Covid-19 ini.

SUSULAN cadangan beberapa penerbit drama memohon kerajaan memberikan kelonggaran untuk meneruskan penggambaran sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengundang pelbagai reaksi daripada penggiat seni.

Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim menyatakan pendirian supaya tiada sebarang penggambaran drama atau filem diadakan sepanjang tempoh PKP ini.

Menurut Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali Mat London, persatuan turut terkesan dengan pelaksanaan PKP ini, namun perlu mengambil kira faktor kesihatan dan keselamatan setiap penggiat seni jika penggambaran diteruskan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tolong beri kami kebebasan pilih pelakon!” - Mat London salahkan stesen TV beri muka artis ‘telur setengah masak’

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon kanak-kanak Puteri Rayyana Rayqa dan ibu positif Covid-19 - “Dia demam dua hari ketika di Scotland”

"Pihak FDAM terkesan dan ingin menyatakan pendapat tentang kenyatan dari beberapa individu dan syarikat produksi yang masih ingin dan mempunyai niat untuk memulakan kerja-kerja penggambaran. Ini kerana dari segi teori akal dan logik mana mungkin pengawasan secara total dapat dijalankan dan jaminan 100 peratus tidak akan mendapat jangkitan dari wabak merbahaya jika kerja penggambaran diadakan secara berkumpulan dalam masa yang panjang.

"Apakah salahnya untuk hanya kali ini seumur hidup kita semua mematuhi apa disarankan dan diarahkan oleh kerajaan berkenaan langkah dan kategori industri yang dibenarkan sahaja beroperasi. Keyakinan dan kerjasama bersama kerajaan perlu untuk tunjukkan rasa sayang dan bertanggungjawab kita kepada keluarga dan kesihatan kita di saat genting ini... kenapa ini diambil ringan?

Mat London minta penggiat seni akur dan patuh arahan kerajaan.

"Inilah masa sesuai untuk penggiat TV, filem dan dunia hiburan memikirkan bagaimana strategi untuk kembali bangun dan membina industri kreatif bermula dari bawah. Tuhan memberi kita ruang sekarang ini dalam waktu yang cukup berharga ini," katanya.

Pada Khamis lalu, sebuah akhbar melaporkan penerbit drama memohon kerajaan membenarkan syarikat-syarikat produksi kembali menjalani penggambaran dengan bersyarat dalam tempoh PKP ini.

Mereka menyerahkan kepada kerajaan untuk meletakkan beberapa syarat yang wajib dipatuhi bagi memastikan penggambaran berjalan dengan lancar dan tidak berisiko dengan pandemik Covid-19 antaranya tidak diadakan di tempat tumpuan ramai.

Jika ingkar, nama pengarah iaitu ahli FDAM akan disenarai hitam dan pihak pejabat FDAM tidak akan meluluskan sokongan ke atas sijil perakuan penggambaran Finas!

AHMAD IBRAHIM

PRESIDEN FDAM

Sementara itu, Mat London menegaskan persatuan tidak teragak-agak untuk memboikot mana-mana penerbit yang masih berdegil mahu meneruskan penggambaran dalam tempoh ini.

"Pihak FDAM ingin menyatakan kami memboikot mana-mana penerbit yang degil dan ingkar arahan kerajaan ini dan akan mengambil beberapa tindakan tegas.

"FDAM mengarahkan seluruh ahli tidak terlibat dalam mana-mana penggambaran semasa PKP kecuali atas kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihak berkuasa atas perkara tertentu.

FDAM tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap ahlinya yang ingkar arahan PKP.

"Jika ingkar, nama pengarah iaitu ahli FDAM akan disenarai hitam dan pihak pejabat FDAM tidak akan meluluskan sokongan ke atas sijil perakuan penggambaran Finas," ujarnya.

Dalam pada itu, Mat London meminta penggiat seni terus patuh dengan arahan kerajaan ini dan membantu negara membendung penularan wabak berbahaya ini.

"Bagi pihak FDAM, kami berterima kasih kepada Astro Shaw, Persatuan Filem Malaysia (PFM), Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE), dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) atas usaha menangguhkan semua tayangan filem di pawagam demi menjaga serta memerangi bersama wabak merbahaya ini.

"Berkorbanlah sekarang demi masa depan bersama, akhir sekali marilah kita berdoa bersama-sama dan berusaha, InsyaAllah kejayaan bakal dikecapi," ujarnya.

Pada Jumaat lalu, lapan orang termasuk pelakon dan kru drama Demi disahkan positif Covid-19 selepas pulang penggambaran dari Scotland pada 31 Mac lalu.

Mereka yang dijangkiti ialah Puteri Aishah, pelakon kanak-kanak iaitu Puteri Rayyana Raqya dan ibunya, Syira serta lima kru produksi termasuk pengarah, penolong pengarah, jurusolek dan jurukamera mengalami nasib yang sama.

Difahamkan, keadaan jurukamera iaitu Ambia Ahmad beransur pulih namun masih ditempatkan di Unit Kecemasan Rapi (ICU).

FDAM, Mat London, Covid-19

Artikel Lain