suria

“Letak bayaran jangan sampai menghina” - Wan Hanafi Su

Wan Hanafi Su berpendapat soal bayaran adalah hal privasi.

PELAKON Wan Hanafi Su berasa kecewa apabila ada segelintir produksi yang menganggap dia meletakkan harga tinggi selepas filem lakonannya iaitu Apprentice ditayangkan di Cannes, Perancis pada 2016.

Wan Hanafi, 69, berkata, kebanyakan pihak produksi tidak bertanya terlebih dahulu dan sekadar membuat andaian sendiri berkaitan bayarannya.

“Ada pihak beranggapan saya mengenakan harga tinggi selepas pulang dari sana, sedangkan ia tidak pernah berlaku. Saya kecewa kerana mereka tidak pernah menghubungi saya, sebaliknya membuat andaian sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Tidak romantik punca Ahmad Maembong beberapa kali putus cinta

“Bayaran adalah perkara privasi. Saya sendiri takkan memberitahu berapa harga saya, kerana lazimnya saya akan bertanya mengenai bajet. Cuma, jangan sampai menghina dengan membayar seseorang pelakon terlalu rendah.

“Dalam hal ini, saya menyalahkan pihak penerbit kerana mereka sendiri boleh menilai. Takkan harga yang hendak ditawarkan kepada pelakon baharu lebih tinggi daripada orang lama?” Katanya kepada mStar.


Wan Hanafi Su berpendapat pelakon baharu perlu menggali lebih ilmu mengenai lakonan.

Wan Hanafi Su ditemui ketika majlis pelancaran dan sesi ramah mesra barisan pelakon filem Garang di Alvina Empire (M) Sdn. Bhd, Petaling Jaya, baru-baru ini. 

Sebelum ini, pelakon Faizal Hussien turut meluahkan rasa sedih apabila namanya sering digugurkan daripada projek drama dan filem gara-gara bayaran yang dimintanya disifatkan terlalu tinggi oleh kebanyakan penerbit tempatan.

Takkan harga yang hendak ditawarkan kepada pelakon baharu lebih tinggi daripada orang lama?

WAN HANAFI SU

Pelakon

Dalam pada itu, pelakon filem Dendam Pontianak ini menasihati bintang-bintang baru agar tidak meletakkan diri mereka di kedudukan selesa dan perlu sentiasa menanamkan sikap ingin belajar.

Aktor ini berkata, beberapa pelakon baharu dilihat mempunyai potensi untuk melangkah lebih jauh dalam bidang seni namun berharap mereka tidak terpengaruh dengan perkara negatif. 

Pengarah dan barisan pelakon filem Garang.

“Jangan cepat rasa diri sudah ‘menjadi’ atau bergelar bintang dan terkenal. Mereka ini (pelakon baharu) perlu tanam sikap ingin belajar dan menggali ilmu dalam diri kerana lakonan bukan bidang yang boleh diajar. 

“Ada beberapa pelakon muda yang saya lihat memang berpotensi untuk melangkah lebih jauh dalam bidang ini, tapi saya tidak berani memetik nama kerana enggan menyinggung sesiapa. 

“Walaupun mempunyai potensi untuk terus berkembang, saya berharap masing-masing tidak terikut-ikut dengan apa yang ada di sekeliling mereka,” ujarnya.

Wan Hanafi Su, Garang

Artikel Lain