“Awal kahwin saya suka marah dia” - Wawa Zainal sedih, lakonan Aeril Zafrel imbau perangai lama - Hiburan | mStar

“Awal kahwin saya suka marah dia” - Wawa Zainal sedih, lakonan Aeril Zafrel imbau perangai lama

Wawa terkesan melihat lakonan suaminya, Aeril dan Janna menerusi drama Cari Aku Di Syurga.

PELAKON Wawa Zainal memberitahu riak muka suaminya Aeril Zafrel dalam sebuah babak drama Cari Aku Di Syurga ketika dimarahi Lisa lakonan Janna Nick sama seperti yang dilalui pada awal perkahwinan mereka.

Wawa atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin , 28, berkata,  dia pernah melalui fasa tersebut, namun bersyukur suaminya sentiasa bersikap tenang dalam mengawal rumah tangga mereka.

"Terlalu banyak menangis bila tengok muka kesian Anas (Aeril) macam ni. Sebab masa awal perkahwinan dulu saya harimau juga.

"Suka marah-marah dia. Biasa la masa tu budak-budak, tak matang. Tapi tak ada la teruk macam cik Lisa (lakonan Janna) tu.

"Tapi Aeril tenang macam tu la reaksi dia sama macam dalam TV. Sabar saja dengan perangai isteri dia," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 7 tahun kahwin belum pernah gaduh besar - Aeril Zafrel dan Wawa Zainal


Wawa menangis melihat wajah sedih lakonan suaminya, Aeril.

Wawa mendedahkan perkara tersebut dan memuat naik video sebuah adegan drama berkenaan iaitu ketika Lisa memarahi Anas di laman Instagramnya.

Drama Cari Aku Di Syurga mula ditayangkan sejak 6 Mei lalu menerusi slot Samarinda TV3 pada pukul 10.30 malam setiap hari Selasa hingga Khamis.

Dalam pada itu, Wawa memberitahu dia bernasib baik menyedari perkara itu dan berubah menjadi seorang isteri yang lebih baik.

Menurut Wawa, lelaki yang baik dan tidak pernah melukai hati isteri seperti dalam drama itu masih wujud dan perlu dihargai.

Wawa dan Aeril bakal menimang cahaya mata ketiga.

"Nasib baik la saya insaf cepat. Jadi isteri yang baik da. Korang tanya ada ke lelaki sebaik Anas?

"Yang tak melukai hati isterinya. Ada... Ada saja... Kalau ada tu, hargailah. Jangan sesekali sia-siakannya.

"Eh rindunya dengan @aeril_zafrel. Tengok dalam TV saja mampu," ujarnya.

Wawa dan Aeril berkahwin pada 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 6, dan Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 4.

Isteri kepada Aeril itu juga kini sedang hamil anak ketiga mereka dan kandungannya sudah memasuki dua bulan.

Aeril Zafrel , Wawa Zainal , Janna Nick

Artikel Lain