suria

Doa Siti Nurhaliza sebelum hamil ingin bawa Siti Aafiyah tunai umrah bakal termakbul

Siti bakal tunai umrah bersama anak dan suami pada 23 Mac ini.

PENYANYI Datuk Seri Siti Nurhaliza memberitahu dia bakal menunaikan umrah bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa, 50 dan anaknya Siti Aafiyah pada 23 Mei ini.

Menurut Siti, 40, dia bersyukur doanya di Makkah sebelum hamil untuk membawa anaknya bersama dimakbulkan Allah.

"Saya akan bawa Aafiyah untuk menunaikan umrah pada 23 Mei ini dan suami saya juga akan ikut bersama serta beberapa ahli keluarga yang lain.

"Sebelum mengandung, saya ada berdoa setiap kali ke Makkah untuk dikurniakan cahaya mata dan membawa anak saya tunai umrah selepas dilahirkan.

"Alhamdulillah, saya bersyukur doa saya ini dimakbulkan Allah kerana bukan senang mahu ke sana tanpa keizinan-Nya," kata Siti kepada mStar.


Siti teruja nak bawa Aafiyah tunai umrah bersama suaminya.

Siti ditemui ketika majlis Berbuka Puasa Siti Nurhaliza Bersama Sitizone dan majlis penyampaian anugerah Universal Music Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Sabtu.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Anta Permana ini terkejut apabila dia menerima anugerah Legend Award dari Universal Music Malaysia.

Bagaimanapun, Siti mengucapkan terima kasih kepada pihak syarikat rakaman tersebut atas usaha keras mempromosikan albumnya sehingga menjadi salah satu album jualan tertinggi.

"Sebenarnya saya terkejut juga sebab tak sangka boleh terima anugerah tersebut dan terima kasih kepada pihak Universal Music Malaysia," ujarnya.

Siti menerima anugerah Legend Award dari Universal Music Malaysia.

Siti menerima anugerah ini berdasarkan pencapaian cemerlangnya dalam penjualan fizikal dan digital bagi album Fragmen, Konsert Unplugged dan SimetriSiti serta empat lagu single.

Lagu Anta Permana meraih 11 kali Platinum dengan lebih 14 juta tontonan di Youtube manakala single-single lain iaitu Comel Pipi Merah (4 kali platinum), Mikraj Cinta (Platinum) dan Cinta Syurga (emas).

Dalam masa yang sama Siti turut menerima anugerah emas untuk album SimetriSiti.

Sebelum ini, Siti turut mencipta sejarah apabila muncul sebagai Malaysia's Most Streamed Local Artist 2017 dan 2018 di pelantar muzik digital Spotify.

Artikel Lain