suria

"Cilaka perbuatan pada ibumu, haram walau sezarah hidu bau syurga" - Sharnaaz Ahmad

Sharnaaz memberi peringatan kepada pengikut di laman sosial dan dirinya sendiri.

VIDEO nenek tua berusia 72 tahun menangis dalam keadaan kelaparan di Kota Tinggi, Johor yang tular di laman sosial pada Jumaat turut mendapat perhatian selebriti tempatan.

Antaranya, pelakon Sharnaaz Ahmad yang memberi peringatan kepada pengikut di laman Instagramnya supaya sentiasa menjaga wanita bergelar ibu.

"Kita ada kekasih cantik, kita ada bini (isteri) lawa... Tapi ingat ya kawan-kawan ku sekalian, cila** perbuatan mu pada ibumu, diharamkan sezarah kamu menghidu bau syurga.

ARTIKEL BERKAITAN: “Sukar dihalang... kalau jumpa, beri tumpang dan bantulah dia,” pesan lelaki kongsi kisah nenek menangis kelaparan


Sharnaaz turut berkongsi video nenek dalam keadaan kelaparan di laman sosialnya.

"Dan beruntungnya kita yang dapat menikmati makan malam yang enak, berpinggankan 20-30 ribu nilainya tetapi ingat, kuburnya tetap sama, tanahnya tetap sama dan soalan kuburnya tetap sama," katanya.

Sharnaaz, 34, turut memuat naik video yang memperlihatkan warga emas itu sedang menikmati hidangan di laman sosialnya pada Jumaat.

Menerusi laporan mStar Online pada Jumaat, individu yang memuat naik video itu, Ahmad Afthdal memberitahu dia bertemu nenek tersebut ketika dalam perjalanan ke sebuah bank menghala ke bandar Kota Tinggi.

Afthdal berkata dia terserempak dengan nenek itu dalam keadaan bertongkat dan berjalan seorang diri demi mencari sesuap nasi.

Sharnaaz bersama anaknya, Jebat Jayden.

Bagaimanapun, Afthdal atau Adal memberitahu anak kepada warga emas itu telah menghubunginya untuk menjelaskan perkara sebenar.

Dalam pada itu, pelakon drama Cinta Bukan Kristal ini berkata, peringatan tersebut bukan sahaja untuk netizen di laman sosial namun untuk dirinya sendiri.

"Ini nota buat AKU SENDIRI. Pada yang lain moga jadi ingatan untuk sayang ibu anda jika masih bernafas.

"Kasih yang lain, pasti boleh bertukar ganti tapi tidak kasih ibu dan ayah. Buat anakku @jebatjayden sayang dan hormatilah ibumu kerana tiada yang disayangnya lebih dari menyayangimu setiap saat," ujarnya.

Sharnaaz Ahmad

Artikel Lain