suria

Nubhan percaya masih ada ruang untuknya dalam industri seni

Nubhan tidak melihat persaingan daripada penyanyi generasi baharu sebagai penghalang untuknya membuat kemunculan semula. Foto Instagram @nubhan.ahamad

EMPAT tahun menyepi daripada bidang nyanyian, penyanyi Nubhan tidak melihat persaingan bintang baharu sebagai penghalang untuknya kembali bergiat aktif dalam bidang seni.

Sebaliknya kata Nubhan yang baharu sahaja melancarkan single berjudul Selamat Jalan Cinta, persaingan itu akan sentiasa ada memandangkan industri seni tempatan semakin bergerak pantas.

"Pada saya persaingan itu akan sentiasa ada tidak kira saya kembali aktif tahun lalu atau pada masa akan datang.

"Industri kita kecil tetapi ia sangat bergerak maju dan setiap hari akan ada bakat baharu yang muncul daripada pelbagai medium.

"Perkara ini tidak sama sekali menjadi penghalang buat saya kerana paling penting usaha saya dalam menempatkan kembali nama dalam peta industri muzik tempatan," katanya.

Nubhan dan isteri, Dr. Afifah Hidayah baharu sahaja menimang cahaya mata kedua pada 19 Januari lalu.

Pemilik nama sebenar Ahmad Nubhan Ahamad ini turut percaya dengan bakatnya sebagai penyanyi selain masih mempunyai pengikut setia sejak kemunculannya dalam program realiti Akademi Fantasia musim keenam (AF6).

Untuk rekod, Nubhan mendapat tempat ketiga pada pertandingan itu yang diadakan pada 2008.

Dalam pada itu, Nubhan, 33, berkata, dia sudah bersedia untuk kembali aktif dan kemunculan single terbaharunya adalah bukti dia masih sayangkan karier nyanyian dan peminat yang sentiasa menyokongnya selama ini.

Kata Nubhan, dia juga sudah merangka beberapa strategi dan rangka promosi bagi menaikkan kembali namanya dalam industri muzik dan berharap kemunculan semulanya mendapat sambutan baik.

Nubhan gembira lagu terbaharunya diterima baik pendengar.

"Empat tahun saya fokus kepada perniagaan dan rasanya sekarang adalah masa paling sesuai untuk saya bergiat aktif dalam bidang nyanyian.

"Ia sentiasa ada dalam jiwa saya dan keputusan sebelum ini pun kerana saya tidak mahu terkejar-kejar melakukan semua perkara dalam satu masa," jelasnya.

Pun begitu kata penyanyi lagu Ada Untukmu itu, keluarga tetap menjadi keutamaannya apatah lagi dia dan isteri, Dr. Afifah Hidayah Taufek baharu sahaja dikurniakan cahaya mata kedua, Ahmad Aaffan yang dilahirkan pada 19 Januari lalu.

Nubhan dan Afifah berkahwin pada 29 Ogos 2016 dan turut dikurniakan seorang anak perempuan Aafiya Kamilia yang kini berusia dua tahun.

Nubhan, Selamat Jalan Cinta

Artikel Lain