suria

Muaz Mohamed sengaja jarakkan usia anak beza lima tahun

Muaz merancang menjarakkan usia anaknya selama lima tahun.

PENYAMPAI radio Kool FM, Muaz Mohamed memberitahu dia dan isterinya sengaja merancang untuk menjarakkan tempoh usia iaitu mendapatkan anak kedua selepas anak sulung berusia lima tahun.

Muaz, 35, berkata dia perlu berbuat demikian kerana memikirkan dari masa supaya dapat menguruskan keluarga dengan baik.

"Insya-Allah kami akan menimang cahaya mata lelaki kedua pada Mac depan. Anak pertama saya tu memang teruja sebab dah lama tak ada adik.

"Tapi saya dan isteri memang merancang untuk bezakan umur anak-anak selama lima tahun. Sebabkan saya dan isteri pula kerja jadi susah nak uruskan dari segi masa.

Muaz dan isteri bakal menimang cahaya mata lelaki kedua pada Mac depan.

"Sebab tu kena rancang untuk dapatkan anak selepas lima tahun. Senang yang abang pun nanti boleh jaga adik dia," kata Muaz kepada mStar Online.

Muaz ditemui ketika sidang media pelancaran single terbaharu Sissy Imann berjudul Pesanan Ayahanda di Warner Music Sdn Bhd, Petaling Jaya pada Khamis lalu.

Muaz berkahwin dengan Ediana Aziz pada Februari 2013 dan pasangan ini dikurniakan cahaya mata pertama bernama Emirza Mukhri yang kini berumur lima tahun.

Dalam pada itu, Muaz teringin untuk menceburi bidang lakonan memandangkan percubaannya untuk menjadi penyanyi sebelum ini tidak berjaya.

Muaz mahu mencuba nasib menjadi pelakon.

Menurut Muaz, dia menyasarkan pada tahun ini untuk berjinak-jinak menjadi pelakon sekiranya diberi peluang dan tawaran.

"Mungkin saya nak cuba jadi pelakon pula. Saya rasa bila dah lama dalam industri ni, saya nampak ramai yang mencuba pelbagai bidang. Ada pelakon jadi penyanyi, ada pelawak jadi penyanyi.

"Jadi, apa salahnya saya nak mencuba jadi pelakon. Sebelum ini, saya pernah cuba-cuba jadi penyanyi tapi semua lagu nyanyian saya dikritik.

"Ternyata memang saya tiada bakat dalam nyanyian. Tahun ini memang saya sasaran kan nak mula berlakon sikit-sikit pula jika ada rezeki dan peluang," ujarnya.

Muaz Mohamed

Artikel Lain