Fazley kotakan janji bersanding semula, hanya rakan media tetamu VIP - Hiburan | mStar

Fazley kotakan janji bersanding semula, hanya rakan media tetamu VIP

Fazley tidak berhasrat menjemput ibu mertuanya ke majlis persandingan semula dia dan isteri.

PENYANYI dan cef selebriti Datuk Fazley Yaakob akhirnya mengotakan janjinya sebelum ini untuk bersanding semula dengan isterinya Datin Azrene Soraya Abdul Aziz.

Fazley berkata persandingan itu akan diadakan pada 27 November ini sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke 13.

"Sebenarnya saya dan isteri berasa segan nak buat majlis ini dan bersanding semula memandangkan kami berdua sudah berusia.

"Tapi selepas berbincang dengan ibu dan dia menyakinkan saya untuk teruskan juga hasrat ini demi arwah bapa saya," katanya kepada mStar Online.

Majlis persanding akan dihadiri rakan-rakan media dan sahabat terdekat sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: Persandingan dulu penuh air mata, Fazley mahu naik pelamin lagi


Majlis persandingan semula Fazley dan isteri akan diadakan pada 27 November ini.

Majlis persandingan mereka pada 13 tahun lalu yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) berlangsung dalam suasana hiba apabila perkahwinan Fazley dengan Azrene tidak mendapat restu Datin Seri Rosmah Mansor.

Azrene adalah anak Rosmah, hasil perkahwinan dengan suami terdahulu iaitu Abdul Aziz Nong Chik.

Dalam pada itu tambah Fazley, dia tidak berhasrat menjemput ibu mertuanya mememandangkan majlis itu bertujuan untuk meraikan rakan media yang tidak dapat membuat liputan majlis persandingan pertamanya.

"Saya tidak menjemput beliau sebab majlis ini hanya diadakan untuk meraikan tetamu VIP iaitu rakan media.

"Majlis itu juga untuk memberi kenangan baru kepada mereka dan keluarga saya," ujarnya.

Anak-anak Fazley teruja dan bakal buat kejutan persembahan.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Asmara Ini memberitahu dia memilih konsep tradisional untuk majlis persandingannya.

Kata Fazley, anak-anaknya turut berasa teruja dan ingin memberi kejutan dengan membuat persembahan istimewa untuk dia dan isteri.

"Untuk majlis persandingan ini, saya pilih konsep tradisional. Memang ada pelamin tapi tidaklah bersanding lama.

"Hanya majlis santai-santai sahaja. Tapi anak-anak teruja dan mereka mahu melakukan persembahan tapi katanya kejutan untuk kami," ujarnya.

Fazley dan Azrene dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz Shah, 9, Ahmad Fieradz Shah, 8, Ahmad Firudz Shah, 6 dan Alayna Selma yang kini berusia tujuh bulan.

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Hujung minggu yang panjang pada 2019

'Rapunzel' tak potong rambut 28 tahun

TH cadang letak had dana pendeposit

Klopp teruja aksi luar biasa Alisson