suria

Suria FM Anjur Konsert Sempena 10 Tahun

Suria FM kini sudah 10 tahun. FOTO Shaari Che Mat.

PETALING JAYA: Sempena ulang tahun ke-10, stesen radio Suria FM bakal menganjurkan sebuah konsert di Jitra, Kedah, pada 16 Disember depan.

Pengurus Program, DJ Lin berkata, konsert berskala besar itu akan menampilkan persembahan artis baharu dan lama sebagai hadiah buat pendengar setia Suria FM.

"Kita bakal mengadakan konsert pada 16 Disember ini sempena ulang tahun ke 10 di Jitra, Kedah, sebagai hadiah buat pendengar setia kami.

"Tapi kami tak boleh dedahkan lagi nama-nama artis yang bakal membuat persembahan, tunggu pengumuman rasmi nanti. Boleh saya katakan, ia akan menyaksikan kombinasi penyanyi lama dan baru," ujar DJ Lin kepada mStar Online.

Barisan penyampai Suria FM bersama Mohd Aminuddin (belakang tengah).

DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abd Majid ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-10 Suria FM di studir radio itu di Tropicana Mall, di sini, Jumaat.

Majlis sambutan yang bermula pukul 10 pagi itu menyaksikan kehadiran ramai artis, rakan media dan penyampai stesen itu sendiri.

Antara artis yang hadir ialah Khai Bahar, Ramlah Ram, Syamel, Kaka Azraf, Sufian Suhaimi, Wani Kayrie, Wany Hasrita dan Mohd (Mentor).

Sementara itu, DJ Lin berkata, sempena sedekad usia stesen itu, dia mengharapkan Suria FM akan terus menjadi pilihan utama pendengar.

Tambahnya lagi, pelbagai rancangan telah dirangka bagi mengukuhkan lagi jenama Suria FM selepas 10 tahun beroperasi.

Turut hadir ialah Pengerusi Kumpulan Radio Star Media, Datuk Dr Mohd Aminuddin Mohd Rouse dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Digital, Roy Tan.

Artis yang hadir meraikan majlis sambutan ulang tahun Suria FM.

Selain DJ Lin, Suria FM turut dibarisi penyampai seperti Halim Othman, Zulin Aziz, Haffiz Aziz, Naim Hashim, Naim Tee, Tyzo, Bob Suraya, Bob Ringgo, Brian Chen dan Fizi Ali.

Suria FM ditubuhkan pada 2006 di bawah label Rimakmur Sdn Bhd iaitu anak syarikat Star Media Group Berhad.

Menerusi acara itu, tetamu yang hadir diraikan dengan pelbagai juadah menarik dalam acara penuh santai dan meriah.

Sebagai simbolik sambutan ulang tahun ke 10, majlis diteruskan dengan acara memotong kek yang disertai para penyampai dan artis undangan.

Suria FM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain