suria

Buntat Impi Berlakon Dengan Janna, Ayda Jebat

Ariff memilih Janna dan Ayda sebagai pelakon impian untuk bergandingan bersama. Foto FAIHAN GHANI

PELAKON kanak-kanak yang mula dikenali menerusi drama 7 Hari Mencintaiku (7HM), Mohd Ariff Abdullah memasang impian untuk bergandingan bersama pelakon Janna Nick dan Ayda Jebat.

Menurut Ariff, 13, dia mengagumi bakat dua pelakon cantik ini dan berharap suatu hari nanti dapat bekerjasama dalam drama atau filem.

"Kalau tanya siapa pelakon wanita pilihan saya, pastinya Janna Nick dan Ayda Jebat berada dalam senarai pelakon kesukaan saya.

'Buntat' atau Ariff mengagumi bakat dua pelakon cantik ini.

"Saya memang minat mereka berdua dan berharap satu hari nanti kami dapat berlakon bersama.

"Janna dan Ayda bukan sahaja cantik dan popular, malah mereka juga hebat dalam bidang ini," katanya kepada mStar Online.

Ariff ditemui di tayangan perdana filem Jibam yang diadakan di MM Cineplex ecurve, Petaling Jaya Selangor pada malam Isnin.

Pelakon cilik ini turut dikenali dengan nama panggilan 'Buntat' selepas berjaya membawakan watak berkesan dalam drama 7HM.

Sementara itu, Ariff berkata, dia tidak kisah andai penonton filem Jibam akan menggelarnya dengan nama panggilan tersebut pula.

Baginya, jika penonton terbawa-bawa dengan watak lakonannya, itu bererti dia berjaya menghidupkan karakter tersebut.

Barisan pelakon filem Jibam yang bakal ditayangkan pada 7 Disember ini.

"Dahulu orang ramai panggil saya Buntat, mungkin selepas ini dengan nama Jibam pula.

"Saya tak kisah dengan nama panggilan tersebut kerana itu bermaksud watak tersebut meninggalkan kesan kepada penonton," katanya.

Menyebut mengenai filem Jibam, Ariff membawakan watak utama dalam karya arahan Che Mie itu.

Selain Ariff, pelakon popular lain yang turut membintangi filem berkenaan seperti Syafie Naswip, Esma Danial, Fadlan Hazim, Mia Ahmad, Bohari Ibrahim, Kazar Saisi dan Kamarool Yusoff.

Filem yang diadaptasi daripada novel popular 90-an hasil tulisan kartunis Ibrahim Anon atau Ujang itu bakal ditayangkan dipawagam bermula 7 Disember ini.

Ariff Abdullah, Buntat, Jibam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain