suria

"Timbulkan Isu Ciplak, Ayai Tidak Tahu Peranan Penerbit" - Edry

Edry

PETALING JAYA: Setelah sekian lama berdiam diri, komposer Edry Abdul Halim akhirnya tampil menyifatkan Ayai (Ilusi) tidak mempunyai pengetahuan mengenai peranan penerbit sehingga menimbulkan kontroversi ciplak lagu Hidup Dalam Mati nyanyian Syamel.

Edry, 40, menjelaskan isu yang dibangkitkan itu sudah lama diselesaikan di antara pihaknya selaku pemilik DD Music mewakili Syamel dan Luncai Emas Sdn Bhd milik Datuk M. Nasir bagi mewakili Ayai.

"Perbincangan mengenai perkara itu sudah lama selesai di antara dua pihak iaitu saya dan M. Nasir selaku penerbit mewakili artis masing-masing mengikut prosedur yang betul.

"Apa juga pertikaian dibangkitkan olehnya (Ayai) termasuk tidak berpuas hati tentang pembahagian royalti, keputusan itu sebenarnya ditentukan oleh M. Nasir selaku penerbitnya.

"Pada saya dia (Ayai) tidak cukup pengalaman tentang hal-hal berkaitan penerbitan dan sebarang pertikaian sepatutnya diajukan terus kepada Luncai Emas dan bukannya ‘memetik’ nama saya dalam hal ini.

Syamel (kiri) dan Ayai berhadapan dengan isu ciplak lagu Hidup Dalam Mati.
"Jika Ayai artis atau komposer bawah naungan saya, saya akan bertanggungjawab tetapi dalam isu ini dia boleh suarakan rasa tidak puas hati itu terus kepada Luncai Emas," katanya kepada mStar Online.

SILA KLIK: Ayai (Ilusi) Dedah Lagu 'Hidup Dalam Mati' Karya Ciplak Syamel

Edry ditemui pada Malam Mesra Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) 2016 yang diadakan di Hotel Royale Chulan Damansara di sini, Ahad.

Pada acara itu, Edry tampil sebagai penerima anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak buat kali ketiga berturut-turut.

Sebelum ini Ayai atau Zaharuddin Kamaruddin, 54, turut mendedahkan lagu Hidup Dalam Mati itu dihasilkannya khas untuk finalis Kilauan Emas 3 iaitu Idris menggunakan judul Ku Kejar Bayang Mu namun terkejut selepas mendapati melodinya sama dengan lagu nyanyian Syamel.

Ayai turut kesal apabila pihak DD Music tidak berbincang terlebih dahulu sebaliknya terus menyediakan kontrak untuk mengagihkan royalti sebanyak 50 peratus tanpa sebarang persetujuan daripada pihaknya.

Dalam pada itu, Edry mengakui berasa terkilan dengan tindakan Ayai dan menyifatkan ia bukan cara terhormat apabila mengaitkan namanya untuk memberi kenyataan kepada media.

Tegas Edry, dia tidak terlibat dalam isu itu dan Ayai sepatutnya menyelesaikan sebarang pertikaian secara profesional dan saluran yang betul.

"Saya tidak tahu kenapa dia nak petik nama saya wahal saya tidak terlibat dan jujurnya saya tiada pendapat tentang tindakannya itu.

"Mungkin dia ingin meraih populariti selain perhatian dan dia dapat perkara itu tetapi dia harus tahu di mana dia berdiri.

"Jujurnya itu bukan cara saya dan saya tidak mahu bercakap perkara tidak elok tentangnya kerana saya hormat dia sebagai orang lebih tua daripada saya," jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai Hidup Dalam Mati tidak dipertandingkan dalam separuh akhir Muzik-Muzik 31 (MM31) dan Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM22), Edry berkata dia dimaklumkan keputusan itu dibuat oleh pihak Astro yang menguruskan Syamel.

Ayai, Edry

Artikel Lain