suria

Hubungan Zizan & Mira Filzah Tidak Libatkan Soal Hati

Zizan Razak ketika meraikan sambutan ulang tahun keempat kelab peminatnya. FOTO: Ihsan Instagram Zizan True Fans (ztf_official)
PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Zizan Razak menegaskan dia tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan aktres Mira Filzah seperti mana diperkatakan sebelum ini.

Zizan atau Mohd Razizan Abdul Razak, 32, berkata, persahabatan di antara mereka juga bukan serapat disangkakan sebaliknya hanya sekadar kawan biasa sahaja.

"Sebagai kawan pun kami sebenarnya bukanlah terlalu rapat apatah lagi melibatkan hati dan perasaan," katanya kepada mStar Online.

Zizan ditemui pada majlis sambutan ulang tahun keempat kelab peminatnya iaitu Zizan True Fans (ZTF) yang diadakan di Shah Alam dekat sini, Sabtu lalu.

Turut hadir pada majlis itu adalah ahli kelab peminat Mira iaitu Miraclegacy.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 300 peminat dari seluruh Malaysia itu juga turut dilancarkan projek #sepasangkasutsekolah yang turut mendapat kerjasama penaja iaitu 11 Streets dan We Love Charity.

Mira Filzah.

Dalam pada itu, Zizan berkata, dia masih tidak mempunyai kekasih dan meletakkan soal itu kepada jodoh.

"Jika ada jodoh, Insya-Allah dan sekiranya masih belum sampai waktunya tidak mengapa kerana setiap apa yang berlaku itu pasti ada hikmah.

"Sementara tiada sebarang komitmen dalam hubungan boleh saya fokuskan kepada kerjaya seni selain ada peminat yang boleh menggembirakan saya," ujarnya.

Bercakap mengenai #sepasangkasutsekolah, Zizan berkata, projek komuniti itu diadakan bagi mencari seberapa banyak pelajar kurang bernasib baik dengan menghadiahkan mereka sepasang kasut sekolah.

Kata Zizan, dia juga bersyukur apabila pihak 11 Street sudi menaja 160 pasang kasut untuk diberikan kepada golongan memerlukan sebagai persediaan memulakan sesi persekolahan pada tahun hadapan.

"Projek ini sebenarnya idea daripada ZTF dan We Love Charity bersempena ulang tahun keempat kelab peminat saya dan Alhamdulillah ia mendapat sambutan baik daripada ahli dan penaja.

"Buat permulaan kami mula dengan kasut sekolah dahulu kerana ia adalah benda penting untuk pergi ke sekolah dan syukur 11 Street pun sudi menyumbangkan 160 pasang kasut untuk didermakan kepada golongan memerlukan," katanya.

Tambah Zizan, projek berkenaan akan diteruskan pada masa hadapan dan berharap ia dapat diperluaskan dengan memberi lebih banyak bantuan kepada golongan memerlukan.

"Kita kalau boleh hendak bantu dari pelbagai segi dan Insya-Allah dengan kesungguhan semua pihak projek ini akan dibesarkan lagi pada masa hadapan," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain