suria

Aizat Amdan Harap Rakyat Malaysia Dapat Bantu Pelarian Syria

Aizat harap dapat buka mata masyarakat Malaysia tentang penderitaan pelarian Syria.

PETALING JAYA: Penyanyi Aizat Amdan mengakui tersentuh hati melihat nasib pelarian Syria yang sentiasa berhadapan dengan bahaya ketika melawat negara itu baru-baru ini.

Aizat atau nama sebenarnya Muhammad Aizat Amdan, 27,berkata, dia turut menitiskan air mata ketika melihat keadaan pelarian terutama kanak-kanak yang kekurangan keperluan asas.

"Saya sukar nak bercerita kerana saya rasa sedih dan sebak bila mengenang nasib mereka di sana.

"Walaupun kami sukar berkomunikasi kerana masalah bahasa, namun mereka tetap berusaha untuk bercakap dengan kami menceritakan apa yang mereka alami," ujarnya.

Aizat berkata demikian ketika ditanya tentang pengalamannya ketika menyertai misi bantuan pelarian Syria baru-baru ini. 

Gambar kenangan Aizat ketika di Syria. 

Misi kemanuasian 1Moment4Them 2.0 itu turut melibatkan penyanyi Noh Hujan, Mizz Nina, Faizal Tahir dan Mu'adz Dzulkefly dan mereka turut mengadakan persembahan di Pusat Konvensyen Al-Azhar, Mesir pada 29 April lalu.

Ia merupakan satu usaha sukarela secara kolektif yang dilakukan para belia dan pelajar universiti dan bergabung tenaga dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengumpul dana bagi pelarian Syria.

Dalam pada itu, Aizat berkata, dia turut  berpengalaman bermalam di kediaman pelarian tersebut dan merasai sendiri suasana malam di tempat berkenaan.

"Saya dan artis lain dapat tidur dengan mereka dan merasai sendiri ketakutan mereka lalui kerana tempat itu baharu sahaja dibom beberapa hari lalu," ujarnya.

Aizat berkata, dia akan menggunakan segala platform sebagai artis untuk menyebarkan dan berkongsi pengalaman yang dilalui itu dengan rakyat Malaysia.

Tambahnya, dia berharap lebih ramai rakyat Malaysia yang sedar dan sama-sama membantu mereka biarpun sekadar memberi semangat.

"Saya harap sangat ramai sedar tentang kehidupan pelarian ini dan tampil membantu walaupun sedikit. Paling tidak pun kita dapat membangkitkan semangat mereka semula untuk berjuang meneruskan kehidupan," ujarnya.
Aizat Amdan, Syria

Artikel Lain