suria

Marlon (VIP) Tidak Gentar Bergerak Secara Solo

Single pertama Marlon berjudul Berani ciptaan Edry Abdul Halim.

PETALING JAYA: Anggota kumpulan VIP iaitu Marlon tidak gentar dengan persaingan hebat daripada penyanyi lelaki sedia ada apabila mengambil keputusan untuk bergerak secara solo.

Marlon atau nama sebenarnya Marlon Mailin Antikoh, 25, berkata, dia yakin dengan objektif yang betul serta kekuatan single pertamanya berjudul Berani dapat menarik perhatian peminat baharu terhadapnya.

"Saya bertuah kerana dibimbing oleh seorang yang cukup berpengalaman dalam bidang muzik iaitu Edry Abdul Halim dan saya yakin dengan arah yang dibentuk oleh KRU Music untuk karier muzik saya biarpun berbeza dengan VIP dahulu.

Marlon tidak gentar dengan persaingan penyanyi sedia ada.


"Tentang persaingan saya tidak pernah bimbang kerana jika saya berusaha dengan bersungguh-sungguh peminat pasti akan menyedari kehadiran saya tanpa membandingkan dengan penyanyi sedia ada," katanya kepada mStar Online.

Marlon kini bernaung di bawah KRU Music dan single pertamanya itu turut dicipta oleh Edry.

Jelas penyanyi berasal dari Sabah itu lagi, untuk lagu Berani dia menukar konsep muzik tidak seperti mana bersama VIP dan tidak menyangka mampu membawakan lagu berentak pop balada.

"Saya masih meminati muzik rancak tetapi untuk karier solo saya memerlukan sesuatu yang berbeza dan Edry melihat kebolehan saya menyanyikan lagu berentak perlahan," ujarnya.

Penyanyi berasal dari Sabah ini baharu berusia 25 tahun.


Dalam pada itu, Marlon menjelaskan dia mengambil keputusan untuk bergerak solo selepas mendapat galakan daripada ahli lain dalam VIP selain dorongan daripada keluarga dan rakan-rakan.

Jelas Marlon, dia tidak mahu mempersia-siakan bakat nyanyiannya kerana begitu meminati bidang tersebut.

"Tanpa sokongan mereka saya mungkin tidak berani untuk menyahut cabaran bergerak secara solo. Keyakinan yang mereka letakkan kepada saya membuatkan saya bertambah percaya dengan bakat yang ada dan tidak mahu ia dipersiakan begitu sahaja," ujarnya.

Marlon menganggap dirinya bertuah kerana dapat bekerjasama dengan Edry Abdul Halim.


Sementara itu, Marlon berkata, biarpun sibuk memperkenalkan namanya di dalam industri muzik tempatan namun dia masih bekerja secara tetap di sebuah restoran milik bekas penyelia asrama rancangan Akademi Fantasia (AF) iaitu Baha Azman Nor.

Jelas Marlon, dia selesa bekerja di situ kerana Baha sangat memahami dengan kerjayanya sebagai penyanyi dan sentiasa memberi sokongan untuk dia berjaya.

"Dia banyak menyokong kerjaya saya dan sekiranya saya ada persembahan dia memberikan kelonggaran kepada saya malah banyak memberi nasihat untuk menjadi artis yang berkualiti," katanya. 
Marlon, VIP, Berani.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain