suria

Tiada Persefahaman Punca Rita Rudaini Bubar Syarikat Kosmetik

Rita akan ambil tindakan jika produk tersebut terus dijual selepas tarikh 1 Oktober 2014.
PETALING JAYA: Pelakon Rita Rudaini mengesahkan dia telah membubarkan syarikat RS Cosmetik And Health Care (RSCHC) yang ditubuhkan bersama rakan karibnya iaitu Siti Saleha Idris sejak setahun lalu.

Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar, 38, berkata, tindakan disebabkan kedua-dua mereka gagal untuk bekerjasama kerana tidak mempunyai keserasian dalam menjalankan perniagaan kosmetik tersebut.

"Dalam bidang perniagaan atau apa-apa sahaja kalau tiada keserasian memang tidak boleh buat apa-apa seperti dalam perkahwinan pun kalau tidak serasi tidak boleh kekal lama.

"Bagaimanapun selepas ini saya akan dapatkan nasihat daripada peguam saya dulu untuk lebih serius menjalankan bidang peniagaan," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.

Rita berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pengumuman yang dibuatnya di laman sosial Instagram miliknya awal pagi Rabu bahawa sudah menghentikan pengeluaran produk di bawah nama syarikat tersebut.

Rita pernah melancarkan produk kosmetik keluaran syarikat RSCHC bersama rakan kongsinya Siti Saleha.

Dalam pada itu, Rita turut tidak membenarkan pihak ejen yang dilantik sebelum ini mengedar dan menjual produk keluaran syarikat itu berkuatkuasa pada Rabu.

Rita berkata, dia tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang masalah yang berlaku akibat penjualan produk tersebut selepas tarikh tersebut.

Malah, sebarang produk yang dikeluarkan atas nama syarikat itu dengan menggunakan namanya akan diambil tindakan undang-undang.

"Syarikat itu sudah bubar, jadi sebarang produk yang dikeluarkan atau diedarkan daripada tarikh yang berkuat kuasa hari ini dengan menggunakan nama saya, saya tidak teragak-agak untuk ambil tindakan undang-undang," jelasnya.

Dia bagaimanapun, menolak pembubaran dan penghentian operasi produk adalah disebabkan tiada kelulusan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Rita pernah melancarkan produk kosmetik serta memperkenalkan rakan kongsi perniagaanya itu pada 22 September 2013.

Antara produk dibawah syarikat RSCHC ialah RS Collagen, RS Magic Slym, Magic Masker RS dan RS Magic White.

Sementara itu, Rita berkata, dia hanya ada dua produk sahaja iaitu rudainibeaute skincare dan luvmycoffee yang dikeluarkan di bawah syarikat milik keluarganya Bfabulousgalleria dan LMCC Empire Sdn Bhd.

"Saya kini hanya bertanggungjawab terhadap dua produk sahaja iaitu rudainibeaute skincare dan luvmycoffee di bawah syarikat keluarga sendiri," ujarnya.


Rita Rudaini

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain