suria

Izzue Islam Buktikan Bukan Lagi Penyanyi Tempelan

Izzue menolak tuduhan kononnya ahli kumpulan Forteen tidak mampu menyanyi secara 'live' di depan umum.
Izzue menolak tuduhan kononnya ahli kumpulan Forteen tidak mampu menyanyi secara 'live' di depan umum.

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Izzue Islam menganggap peluang menjadi vokal utama dalam single baharu kumpulan Forteen berjudul Tidak Pernah Berjumpa membuktikan dia boleh menyanyi dan bukan sekadar tempelan.

Izzue atau nama sebenar Muhammad Izzul Islam, 24, berkata, setiap lagu yang dicipta untuk dinyanyikan oleh ahli kumpulan tersebut sebelum ini dipilih mengikut keistimewaan vokal masing-masing.

"Lagu-lagu sebelum ini lebih sesuai dengan suara anggota kumpulan yang lain, jadi mereka menjadi suara utama untuk lagu tersebut.

"Ia bukan bermakna kehadiran saya dalam kumpulan tersebut hanya sebagai tempelan atau penyanyi suara belakang sahaja, cuma ketika itu suara mereka lebih bersesuaian.

"Selepas lagu Tidak Pernah Berjumpa ini siap, komposer Edry Abdul Halim menganggap suara saya lebih sesuai untuk menjadi suara utama," katanya kepada mStar Online, di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Izzue turut menafikan tuduhan ahli kumpulan tersebut tidak mampu menyanyi secara 'live' di depan umum.

Tambahnya, Forteen telah beberapa kali membuktikan keupayaan mereka menyanyi secara langsung dengan baik di beberapa acara hiburan.

"Tiada isu bahawa kami tidak boleh menyanyi kerana Forteen sendiri tidak pernah menyanyi secara 'miming' pada setiap persembahan.

"Bagi saya, sesiapa yang berkata begitu disebabkan mereka tidak pernah melihat kami melakukan persembahan," katanya.

Bagaimanapun, Izzue mengakui mereka perlu sentiasa belajar teknik vokal yang betul bagi meningkatkan prestasi persembahan kumpulan tersebut.

Dalam pada itu, Forteen buat pertama kalinya akan mengadakan Konsert KITA 20FORTEEN yang bakal berlangsung pada 29 Mac depan di KL Live, Jalan Sultan Ismail dekat sini.

Tambahnya, konsert tersebut merupakan penghargaan kepada peminat mereka setelah genap tiga tahun berada dalam industri seni tanah air.

"Ini merupakan konsert pertama kami dan banyak kejutan yang dirancang untuk dilakukan pada hari tersebut.

"Buat masa ini kami sibuk dengan latihan persediaan dan akan menyanyikan sebanyak 15 buah lagu," katanya.

Tiket menyaksikan persembahan itu dijual dengan harga RM80 boleh didapati dengan menghubungi hotline United Studios di talian 03-8320-1888, KL Live 03-2162-2570 dan di Redbox Ria 03-2145-7788.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain