suria

Bintang Mencari Bintang: 3 Peserta Disingkir Sekaligus

Kelawak dan Tocai gagal mara ke pusingan separuh akhir BMB.
Kelawak dan Tocai gagal mara ke pusingan separuh akhir BMB.
Kelawak dan Tocai gagal mara ke pusingan separuh akhir BMB.

PETALING JAYA: Konsert penentuan Kumpulan A Bintang Mencari Bintang (BMB) yang telah berlangsung pada malam Ahad menyaksikan tiga peserta tercorot, Kelawak, Tocai dan Big Too meninggalkan pentas BMB.

Kelawak hanya mengumpul sebanyak 195.4 markah, Tocai (206.88) dan Big Too (214.42) sekaligus tewas kepada kumpulan Achey yang meraih markah tertinggi iaitu 300.03, Tapaw (238.13) dan Bowl (215.14) bagi melangkah ke pusingan kedua (separuh akhir).

Walaupun berada di tempat yang tercorot, semangat tinggi yang ditunjukkan oleh Kelawak yang dibimbing oleh sifu mereka, Raja Azura, Tocai (Senario), Big Too (Sabri Yunos) dalam mempelbagaikan dan mewarnai persembahan menerima pujian daripada sifu masing-masing dan juga barisan juri professional.

Achey pula dibimbing oleh Harun Salim Bachik, Tapaw (Faizal Ismail) dan Bowl (Afdlin Shauki).

Kelawak yang mula bangkit sejak konsert ketiga dipuji oleh juri BMB, Fauziah Ahmad Daud (Ogy) atas kebangkitan mereka yang ditonjolkan.

"Dari minggu lalu, Kelawak bangkit dan terus bangkit. Mereka banyak belajar dari kesilapan dan belajar bagaimana mewarnai persembahan.

"Begitu juga dengan Big Too, mereka mempunyai idea mengikut perkembangan semasa. lawak yang bijak dan energeti," kata Ogy.

Pada malam konsert tersebut para peserta perlu mempersembahkan sebuah sketsa komedi bebas selama tiga minit dan sebuah lagu selama dua minit untuk meraih markah daripada juri profesional dan juri awam serta undian SMS (sistem khidmat pesanan ringkas) daripada para penonton.

Setiap sifu akan mempunyai dua anak didik yang bertanding dalam Kumpulan A dan Kumpulan B. Anak didik akan bersaing selama empat minggu dalam pusingan pertama mengikut kumpulan masing-masing.

Tiga peserta yang mendapat markah terendah daripada setiap kumpulan akan disingkirkan.

Manakala enam peserta (daripada kumpulan A dan B) yang berjaya akan berentap di pusingan kedua, separuh akhir dan konsert akhir untuk merangkul gelaran juara serta membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM200,000.

Menurut Penerbit Eksekutif Bintang Mencari Bintang, Muhamad Sufian Isa, selepas tiga bulan program itu berlangsung, para peserta berjaya menampilkan corak persembahan yang lebih matang dan menyampaikan mesej dengan jelas selain menghiburkan.

"Pengalaman mereka bergandingan dengan sifu dan artis-artis yang berpengalaman ternyata menyuntik semangat baru kepada pelapis baru ini untuk memberikan kelainan dan idea baru dalam persembahan mereka.

“Menang atau kalah, saya ingin mengucapkan syabas kepada Kumpulan A yang sudah berjaya transformasi dan menjadi pelapis baru dalam industri hiburan,” tambah Sufian.

BMB menampilkan Adibah Noor sebagai pengacara program manakala ogy dan A.R. Badul sebagai juri tetap untuk program ini.

Program BMB bersiaran langsung pada setiap hari Ahad pukul 9 malam dan untuk perkembangan terkini, layari laman sesawang rasmi BMB di www.tv3.com.my/bintang serta laman sosial Facebook dan Twitter 'TV3Malaysia'.

Artikel Lain