suria

Afdlin Shauki Mahu Didik Kanak-Kanak Tidak Takut Hantu

Watak Afdlin Shauki dalam Pontianak vs Orang Minyak
Watak Afdlin Shauki dalam Pontianak vs Orang Minyak
Watak Afdlin Shauki dalam Pontianak vs Orang Minyak

PETALING JAYA: Pembikinan filem Pontianak vs Orang Minyak yang bakal ditayangkan pada 22 November ini bertujuan untuk mengubah persepsi kanak-kanak yang takut pada hantu.

Pengarahnya, Afdlin Shauki berkata, dia ingin membuang rasa takut pada diri kanak-kanak apabila berbicara mengenai hantu dan menerusi filem tersebut, dia percaya perasaan itu sedikit sebanyak dapat hilang.

"Biasanya, kanak-kanak sering mengaitkan hantu dengan perkara-perkara yang menyeramkan dan menerusi filem Pontianak vs Orang Minyak saya ingin mendidik mereka untuk buang rasa takut terhadap makhluk itu.

"Kali ini, filem arahan saya membawakan pendekatan yang berbeza, tidak seperti filem seram lain yang sering menakutkan orang.

"Filem ini pula lebih mengajar orang terutamanya kanak-kanak untuk berani berdepan dengan makhluk itu," katanya.

Memilih dua jenis hantu yang paling popular di kalangan masyarakat melayu sebagai subjek utama, Pontianak vs Orang Minyak dibarisi dua pelakon utamanya iaitu Nabil dan Johan.

Antara pelakon lain yang turut terbabit ialah Lana Nordin, Afdlin Shauki, Sharifah Shahirah, Khir Rahman, Adibah Nor, Harun Salim Bachik, Fizz Fairuz dan Sharifah Amani.

Filem yang diterbitkan oleh Vision Works itu memaparkan perjalanan dua orang pemuda (Johan dan Nabil) yang terjebak dalam dunia halus setelah masing-masing kecewa dengan haluan hidup mereka.

Ponti (Nabil) dilantik menjadi Pontianak lelaki manakala Omi (Johan) pula menyerahkan diri untuk dilatih sebagai orang minyak.

Mereka berdua akhirnya dihantar oleh ketua masing-masing ke Kampung Puaka yang didiami oleh golongan pawang, bomoh dan juga hantu-hantu yang telah bertaubat untuk diuji ilmu-ilmu yang telah mereka pelajari semasa proses latihan.

Namun, Ponti dan Omi telah jatuh cinta kepada anak-anak gadis sunti Saodah yang baru berpindah ke kampung tersebut, iaitu, Bunga Cinta Kasturi dan Bunga Cinta Melur.

Tambah Afdlin, elemen solekan juga dititikberatkan oleh Afdlin bagi menampakkan wajah semula jadi Pontianak dan orang minyak.

"Kami telah menempah khas Latex untuk menyolek wajah setiap pontianak dan ia memperuntukkan selama dua jam untuk setiap solekan.

"Manakala setiap orang minyak telah dicat dan disemburkan dengan cecair yang juga ditempah khas bagi menjamin keselesaan kulit para pelakon terlibat," ujarnya.

Selain itu, Afdlin berkata, ia juga merupakan sebuah filem yang mencabar apabila suntingan pertama selama empat jam setengah terpaksa dipotong menjadi satu jam 40 minit.

"Apabila mempunyai dua pelawak yang suka menambah-nambahkan skrip, memang agak mencabar apabila terpaksa berdepan dengan babak-babak yang harus dipilih untuk mengimbangi plot penceritaan dengan elemen komedi yang mahu ditayangkan kepada penonton.

"Dan saya pun pening nak pilih kerana Nabil dan Johan berlakon dengan baik sekali, malah mereka memberikan pilihan untuk saya babak komedi mana yang perlu diambil pakai," selorohnya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain