suria

Jalaluddin Hassan Kecewa Rakaman Alih Suara Berkualiti Rendah

Jalaluddin hairan dengan kualiti rakaman alih suara drama dan filem luar di negara ini yang tidak pernah berkembang sejak 20 tahun lalu.
Jalaluddin hairan dengan kualiti rakaman alih suara drama dan filem luar di negara ini yang tidak pernah berkembang sejak 20 tahun lalu.
Jalaluddin hairan dengan kualiti rakaman alih suara drama dan filem luar di negara ini yang tidak pernah berkembang sejak 20 tahun lalu.

KUALA LUMPUR: Pelakon Datuk Jalaluddin Hassan berasa kecewa dengan kualiti bidang alih suara di negara ini yang masih berada pada takuk yang sama selepas 20 tahun.

Jalaluddin, 58, berkata, berdasarkan pengalamannya proses dan kualiti rakaman alih suara bagi karya seni seperti drama televisyen (TV) atau filem dari luar tidak menunjukkan sebarang peningkatan berbanding negara-negara luar.

“Apa yang saya perhatikan, bidang alih suara bagi projek drama TV atau filem luar ke bahasa Malaysia masih tiada perubahan sejak 20 tahun lalu.

“Selama tempoh itu, saya lihat bidang ini menghadapi masalah terbesar iaitu kualiti alih suara yang rendah di mana suara pelakon alih suara di negara ini tidak pernah kedengaran bersesuaian dengan karakter asal sesebuah drama atau filem,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Jalaluddin berkata, dia berasa hairan mengenai punca sebenar yang menyebabkan mutu alih suara di negara ini masih tidak meningkat walaupun bidang seni semakin maju dan dilengkapi pelbagai peralatan moden.

“Saya sendiri pelik apa punca sebenar yang menghalang perkembangan dunia alih suara tanah air sedangkan negara kita semakin maju termasuk dalam bidang seni.

“Apakah isu duit, pemilihan pelakon alih suara yang tidak bersesuaian atau kemudahan peralatan yang tidak setaraf negara-negara luar?

“Apa yang pasti, keadaan yang tidak berubah ini mencemarkan kualiti bidang alih suara di negara kita,” luahnya.

Beralih kepada perkembangan kerjaya, Jalaluddin berkata, dia sedang sibuk dengan komitmen sebagai pencerita untuk versi bahasa Malaysia dokumentari berjudul Mankind The Story of All of Us untuk saluran History (saluran Astro 555).

“Kini saya sudah siapkan empat episod dan ada lapan lagi untuk disudahkan. Keadaan bertambah lancar dan tersusun sekarang selepas saya mula menyesuaikan kaedah yang tepat untuk proses memasukkan suara,” katanya.

Aktor berpengalaman ini berkata, dia juga baru menyiapkan dua buah filem dan bakal bercuti bersama keluarga ke tiga negara iaitu Sepanyol, Maghribi dan Abu Dhabi, Emeriah Arab Bersatu (UAE) pada minggu kedua Disember depan.

Mankind merupakan siri dokumentari pertama yang ditayangkan secara serentak di seluruh dunia bermula 14 November ini pada pukul 9 malam di saluran tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain