suria

MLM: Kumpulan 3G Dan Bawel Tersingkir

Kumpulan 3G. - Foto SHAHRUL FAZRY ISMAIL
Kumpulan 3G. - Foto SHAHRUL FAZRY ISMAIL
Kumpulan 3G. - Foto SHAHRUL FAZRY ISMAIL

SHAH ALAM: Minggu keenam program Maharaja Lawak Mega (MLM) yang berlangsung malam Jumaat di sini menyaksikan dua penyingkiran serentak dilakukan di mana kumpulan 3G dan Bawel dari Indonesia tersingkir.

Penyingkiran kedua-dua kumpulan tersebut diumumkan oleh salah seorang juri tetap, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan.

Kumpulan 3G yang dianggotai oleh Enot, Didie Alias dan Yassin manakala Bawel pula dianggotai Dodon, Amin dan Dadang, tewas setelah mendapat undian paling rendah.

Selain 3G dan Bawel, kumpulan dari Indonesia juga, Saehu, turut berada dalam 3 peserta yang mendapat markah terendah minggu ini.

Dihoskan oleh pengacara AC Mizal, persembahan yang diadakan di Royale Theater Selangor, Shah Alam itu bertemakan konsep muzikal.

Dengan penyingkiran terbaru itu bermakna, kini tinggal tujuh peserta sahaja lagi dalam siri Maharaja Lawak iaitu kumpulan Boboi, Pimai, Osbon, Syok, Adlin Aman Ramli, Saehu dan Bawal Power yang akan berentap pada minggu ketujuh MLM.

Selain Chef Wan, dua lagi juri tetap yang memberi komen setiap minggu ialah bekas pemain bola sepak negara, Zainal Abidin Hassan dan Datuk Siti Nurhaliza serta juri jemputan, Fadly dari kumpulan Padi.

Markah keseluruhan dikira berdasarkan undian penonton yang membawa kepada 30% markah serta baki 70% lagi adalah hasil permarkahan juri tetap dan juri jemputan.

Program MLM disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Warna (saluran 132).

Artikel Lain