suria

Rabbani Bakal Berduet Dengan Iwan Dangdut

Anggota Rabbani menunjukkan Dinar Rabbani yang kini boleh didapati di pasaran. - Foto SAM THAM
Anggota Rabbani menunjukkan Dinar Rabbani yang kini boleh didapati di pasaran. - Foto SAM THAM
Anggota Rabbani menunjukkan Dinar Rabbani yang kini boleh didapati di pasaran. - Foto SAM THAM

PETALING JAYA: Kumpulan nasyid Rabbani bakal tampil dengan kelainan apabila berhasrat untuk berduet dengan bekas penyanyi dangdut, Iwan Syahman untuk album terbaru mereka.

Menurut salah seorang anggota Rabbani, Azadan Abd Aziz, kumpulan itu sudah bertemu dengan Iwan pada Sabtu lalu dan penyanyi itu telah memberikan persetujuan untuk melakukan kolaborasi bersama-sama.

“Setakat ini, perancangan masih pada peringkat awal. Kami memilih Iwan setelah melihat perubahan imejnya seperti yang disiarkan di akhbar sebelum ini.

“Kami meminati imej dan suara Iwan yang tersendiri serta bersuara taranum. Kami juga meminati lagu-lagunya yang bersifat mendidik,” katanya pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Rabbani dan pra pelancaran Dinar Rabbani di Dewan Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Kepong, Ahad lalu.

Tambah Azadan: “Kami memikirkan untuk membuat kelainan muzik tetapi masih mengekalkan muzik nasyid. Setelah bertemu dengan Iwan, kami nampak ada keserasian antara kami walaupun idea tersebut dilahirkan secara spontan.

“Kami akan meminta dia menerbitkan lagu tersebut dengan memasukkan unsur Arab yang dikenali dengan identiti Rabbani.”

Beralih kepada perniagaan Dinar Rabbani yang diusahakan sejak Julai lalu, Azadan berkata sebanyak 1,500 keping dinar emas telah terjual.

“Kami menyasarkan sebanyak 10 kilogram dinar yang dijual sebelum membuat pelancaran. Tetapi sekarang baru 6 kilogram yang dijual melalui kenalan dan kelab peminat kami,” katanya.

Satu kilogram bersamaan 235 keping dinar emas. Pada permulaan, mereka menjual 1 kg dinar pada harga RM710 tetapi selepas tiga bulan di pasaran, harganya meningkat kepada RM860.

Dalam perkembangan lain, mereka juga melaksanakan perniagaan pelancongan Rabbani Travel & Tour dan minuman Rabbani Café.

Walaupun masih aktif dengan persembahan nyanyian, Rabbani turut seimbangkan dengan perniagaan sebagai jaminan dan persediaan masa depan.

“Kami kena pelbagaikan kerjaya kami dengan perniagaan. Lagipun, kami mahu menyahut seruan Rasulullah yang bersabda sebahagian punca rezeki adalah daripada perniagaan,” ujarnya lagi.

Azadan turut berkongsi berita gembira tentang penubuhan studio Rabbani di Bandar Menjalara, Kepong yang menjadi hajat bekas vokalis mereka, Allahyarham Ustaz Asri.

Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi talian 03-89275928 (Rabbani Travel & Tour), 019-2336602 (Rabbani Wedding Planner) dan 016-6083010 (Dinar Rabbani).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Cara Tiz Zaqyah Jaga Kecantikan

Artikel Lain