suria

Fizo Omar Mahu Jadi Deejay Radio

SEJAK kehilangan bapa tersayang iaitu Wan Omar Wan Ishak, pelakon Fizo Omar (gambar) menjadi semakin bertanggungjawab kepada keluarganya.

Pemuda berusia 26 tahun ini akui diri terpaksa mengorbankan usia muda untuk menumpukan komitmennya kepada keluarga, karier seni dan perniagaan.

Biarpun begitu, dirinya masih mempunyai perasaan yang sama seperti rakan-rakan lain untuk mempunyai perasaan cinta.

Walaupun keluarga tidak pernah menghalang diri untuk dia mencari cinta, Fizo yakin jodohnya pasti akan sampai suatu hari nanti.

Cuma buat masa sekarang, dia lebih selesa memikirkan tentang tanggungjawab yang dirasakan lebih penting berbanding keperluan duniawi lain.

“Saya merupakan anak kedua daripada empat beradik dan mempunyai abang yang sudah berumah tangga. Disebabkan itu, saya rasa diri saya patut lebih banyak membantu keluarga berbanding hanya mengharapkan bantuan abang.

“Kini, tumpuan kepada kerjaya difokuskan 100 peratus berbanding perkara lain kerana diri saya sudah dianggap seperti seorang ketua keluarga selepas bapa meninggal dunia,” ujarnya yang tidak lokek dengan senyuman.

Beralih kepada karier, selain lakonan, dia galak mengembangkan bakatnya dalam bidang pengacaraan. Bukan tamak, sebaliknya Fizo menganggap rezeki menjadi pengacara sebagai cabang untuk dia mencuba sesuatu perkara baru.

“Sebagai anak seni, saya mahu mencuba semua kerja berkaitan seni. Saya memilih bidang pengacaraan kerana saya tidak boleh menari dan menyanyi.

“Sejak kecil, saya gemar mencuba perkara yang saya minati seperti bermain bola sepak, mempelajari ilmu kejuruteraan awam, bekerja sebagai model, seterusnya pelakon dan kini pengacara.

“Selepas ini mana tahu kalau ada rezeki, saya boleh mencuba untuk bergelar penyampai radio. Bagaimanapun, keutamaan saya lebih menjurus kepada lakonan,” katanya yang telah mengendalikan program 3 Hari 2 Malam dan Nasi Lemak Kopi O.

Menyentuh tentang karier lakonannya, selepas sembilan bulan tidak berlakon drama, kini dia kembali mewarnai slot Akasia menerusi drama Soffiya di TV3, pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 7 malam.

Dia melakonkan watak seorang peguam bernama Ilyas yang mewakili anak guamnya, Soffiya (Tiz Zaqyah) yang didapati bersalah kerana membunuh bapanya dan ditahan di pusat pemulihan akhlak.

Di sana, Soffiya sering menjadi mangsa buli dan sering menceritakan masalahnya kepada Ilyas yang tidak pernah berputus asa berikhtiar untuk membebaskannya daripada hukuman.

Bagaimanapun, kebahagiaan Soffiya terhalang apabila Ilyas sudah bertunang dan terpaksa akur dengan kehendak tunangnya, Fiona (Izara Aishah) untuk ke New York.

10 soalan menarik Fizo

1. Siapa lebih penting ibu atau kekasih?

100 peratus ibu.

2. Tunggang kuda, memasak atau menonton live band?

Semua aktiviti saya suka kerana saya akan menunggang kuda pada waktu petang, memasak apabila ada waktu lapang dan menonton live band pada waktu malam. Selain itu, saya suka bermain bola sepak pada waktu petang. Disebabkan saya suka memasak, saya sedang merancang untuk menerbitkan buku masakan tidak lama lagi.

3. Haiwan paling disukai?

Kuda kerana bapa saya pernah membela 15 ekor kuda sebelum ini tetapi selepas dia meninggal dunia, kami menjual dan memberikan kuda-kuda itu kepada saudaramara.

4. Minatkah Datuk Siti Nurhaliza?

Mestilah kerana beliau merupakan idola sepanjang zaman. Tiada artis di Asia yang sehebatnya.

5. Benci nyamuk atau lipas?

Nyamuk kerana kulit saya sensitif sehingga boleh menghalang saya daripada berbuat apa-apa dan sangat mengganggu saya.

6. Makanan kegemaran?

Saya berdarah Thai dan tahu masak makanan Thai.

7. Gemar aktiviti lasak?

Ya...! Saya suka kerana ia mampu memberikan perubahan adrenalin serta merupakan cara terbaik untuk mengurangkan tekanan dan mengatasi rasa takut.

8. Haiwan eksotik yang mahu dielak?

Katak kerana saya geli.

9. Suka merah atau hitam?

Merah kerana nampak berani dan menyerlah.

10. Suka ketawa?

Kalau tak ketawa bukan manusialah. Betul tak? Kalau boleh hari-hari saya nak ketawa sebab boleh hilangkan stres. Tapi jangan melampau sangat.

Foto RICKY LAI

*Artikel dipetik daripada sisipan Mingguan mStar yang diedarkan bersama akhbar The Sunday Star keluaran 17 Julai di sekitar Lembah Klang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain