suria

Misi Naguib Bawa Industri Filem Tempatan Ke Luar Negara

KETUA Pengarah (KP) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang baru, Mohd Naguib Razak,42, (gambar) telah memasang strategi untuk mengangkat dunia perfileman tanah air ke peringkat yang lebih tinggi selepas memegang jawatan berkenaan bermula 1 September lalu.

Mohd Naguib memberi jaminan dalam tempoh 100 hari, satu perubahan dapat dilihat dalam landskap dunia perfileman tempatan secara berperingkat berdasarkan kepada pengalamannya pada peringkat antarabangsa.

Seperti mana biasa, setiap kali orang baru memimpin Finas, banyak idea yang diketengahkan tetapi sejauh manakah perkara itu mampu dilaksanakan?

Saya berkata kepada Mohd Naguib, orang filem selalunya sekadar bercakap besar, nak buat itu, nak buat ini tapi habuk pun “tarak’. Orang filem umpama si pelakon, hanya nampak gah pada lakonan tetapi sukar untuk melaksanakan apa yang dijanjikan.

“Ini janji saya. Apa yang penting penggiat filem kita perlu diberi peluang untuk bergaul dengan orang luar. Relationship building pada peringkat antarabangsa amat penting kalau mahu berjaya. Itu yang akan saya terapkan,” ujarnya menangkis pendapat berkenaan.

Dalam pertemuan dengan sekumpulan pengarang hiburan di sebuah hotel, Kuala Lumpur Isnin lalu, Mohd Naguib diajukan dengan beberapa soalan panas termasuklah arah tuju beliau dalam mengemudi Finas ketika industri perfileman tempatan menunjukkan peningkatan mendadak. Ikuti temu bual bersama beliau.

Apakah langkah pertama saudara selepas menerajui Finas?

Perkara yang penting mendengar luahan semua pihak untuk membolehkan saya mengetahui apa sebenarnya yang diinginkan oleh penggiat industri perfileman kita. Langkah pertama saya ialah mengadakan perjumpaan dengan pengarang-pengarang hiburan. Keduanya saya akan mengadakan perjumpaan dengan penggiat seni dalam waktu terdekat untuk mendapat gambaran mengenai masalah yang mereka hadapi.

Orang filem sedang memerhatikan keupayaan saudara. Ramai yang sangsi dengan kebolehan KP Finas yang baru ini kerana latar belakangnya lebih kepada penghasilan filem dokumentari, Apa komen saudara?

Saya tahu ramai yang menyangka saya hanya tahu hasilkan filem dokumentari dan animasi. Tapi sedar atau tidak semasa saya bertugas di Astro sebelum ini, sayalah yang mempelopori slot Wayang Kita. Ia bertujuan untuk membawa penonton melihat filem-filem kita secara meluas pada peringkat tempatan dan antarabangsa. Itulah matlamat saya yang sebenar.

Apa hala tuju saudara apabila diberi peluang menerajui Finas?

Saya melihat kejayaan penggiat seni di luar sana adalah kerana mereka bersatu untuk kepentingan sesama sendiri. Mereka boleh bertukar-tukar fikiran dan pendapat untuk meraih sesebuah kejayaan. Tidak macam kita. Jadi saya mahu penyatuan itu dapat dibina sebagaimana penggiat filem di Thailand dan Indonesia. Mereka berjaya kerana mereka bersatu serta berkeupayaan melakukan kerjasama dengan pihak luar. Saya juga masih muda. Saya ada tenaga yang baru dan saya mahu tenaga yang sama ada pada filem kita.

Saudara bercakap tentang antarabangsa iaitu hal yang sama pernah diperkatakan. Festival Filem Malaysia sebelum ini juga sudah dua kali menekankan tema “filem kita ke persada dunia” tetapi tak tercapai pun. Macam mana tu?

Membawa filem kita ke peringkat antarabangsa adalah matlamat saya. Saya tahu ia bukan mudah. Sebab itulah kita perlu ada kerjasama dengan pihak luar dulu agar kita mendapat laluan itu. Jadi, dalam hal ini kita perlu mendukung produksi kita agar apa yang kita harapkan mencapai matlamatnya. Kebolehan kita untuk mempunyai kerjasama itulah yang lebih bermakna sebenarnya. Di negara kita ini penggiat filem lebih menekankan kuantiti untuk berjaya. Pendekatan itu salah. Yang perlu pada diri kita ialah relationship building dan trust building. Saya harap sangat akan mendapat sokongan dan kepercayaan untuk membawa pendekatan itu.

Saudara menawarkan diri untuk mengisi kekosongan KP Finas yang menjadi rebutan ramai pihak. Apakah kehebatan yang saudara sendiri rasakan ada pada diri saudara?

Saya sudah jelaskan kepada pihak kementerian (Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan) tentang kebolehan saya menghasilkan filem dokumentari sehingga mampu dibawa ke luar negara. Tetapi saya ingin jelaskan saya juga ada kemampuan terhadap penghasilan filem cereka. Selain itu saya dapat meyakinkan kepada pihak mereka tentang projek-projek yang akan saya bawa jika saya dapat menerajui Finas. Atas dasar itu mungkin saya terpilih.

Bagaimana dengan jawatan saudara sebagai Pengarah Urusan, Blue In Green Production kerana ada pihak yang melihat mungkin terdapat konflik kepentingan atas kapasiti saudara sebagai KP Finas terhadap syarikat tersebut.

Sebelum saya menjawat jawatan ini, saya sudah melepaskan semua kepentingan saya dalam syarikat berkenaan. Saya juga telah meletak jawatan sebagai Pengarah Urusan. Malah projek-projek yang telah saya rancang telah saya berikan kepada orang lain untuk jalankan. Insya-Allah, pada masa depan, saya boleh kembali kepada syarikat itu.

*Artikel dipetik daripada sisipan Mingguan mStar yang diedarkan bersama akhbar The Sunday Star keluaran 17 Julai di sekitar Lembah Klang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain