suria

Prosiding Perceraian Shaharuddin Tamby Tertutup

KUALA LUMPUR: Prosiding perceraian pelakon, Shaharuddin Tamby (gambar) di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada Rabu, berjalan secara tertutup.

Pada asalnya kes tersebut berjalan di mahkamah terbuka pada 25 April lalu dengan keterangan Shaharuddin yang tidak bersetuju dengan permohonan perceraian yang difailkan oleh isterinya, Nor'aini Muhammad.

Pada Rabu, Nor'aini yang kelihatan tidak selesa dengan kehadiran pihak media pada awalnya meminta mereka untuk keluar daripada galeri awam mahkamah.

Dia yang memakai baju kurung dan bertudung ungu juga menunjukkan laporan polis yang dibuatnya pada pukul 10.15 pagi, 4 Mei lalu di Balai Polis Taman Melawati berkenaan prosiding terdahulu.

Dakwanya dalam laporan tersebut, terdapat fakta yang dikeluarkan oleh media daripada keterangan Shaharuddin tidak tepat dan memalukan dirinya.

Nor'aini juga menunjukkan beberapa laporan polis yang dibawanya.

Selepas permintaannya agar wartawan meninggalkan mahkamah tidak dilayan, Nor'aini membuat permohonan kepada Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin agar kesnya boleh didengar secara tertutup. Shaiful Azli membenarkan permohonan itu dan mengarahkan semua orang awam yang berada di mahkamah untuk keluar pada pukul 11.30 pagi.

Prosiding itu berjalan selama sejam dan Shaharuddin yang memakai baju kemeja kelabu berjalur putih dan berseluar jean dilihat berjalan meninggalkan mahkamah secara bersendirian.

Pelakon yang membuat penampilan khas dalam filem Apa Kata Hati itu juga memohon kepada wartawan untuk tidak mengganggu emosi isterinya dan enggan mengulas lanjut mengenai kes itu.

Dalam kes ini, Nor'aini, 51, memfailkan permohonan untuk bercerai tetapi tidak dipersetujui oleh Shaharuddin, 54, yang mendakwa masih sayangkan isteri yang menjadi peneman hidupnya sejak 33 tahun lalu.

Nor'aini selaku plaintif mendakwa permohonan itu difailkan ekoran tiada persefahaman dan mendakwa dirinya tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada haharuddin atau nama sebenarnya Shaharuddin Tambi.

mStar Online difahamkan pada prosiding tertutup itu, kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk tidak berpisah apabila Nor'aini menarik balik permohonan cerainya.

Pasangan tersebut berkahwin pada 25 November 1978 di Kuala Lumpur dan dikurniakan tiga anak, termasuk dua yang telah mendirikan rumah tangga.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain