suria

Idham Sambung Pengajian Peringkat PhD Di UUM

Idham menyerahkan borang kemasukan kepada Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak di Sintok.
Idham menyerahkan borang kemasukan kepada Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak di Sintok.
Idham menyerahkan borang kemasukan kepada Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak di Sintok.

PETALING JAYA: Walaupun sibuk dengan promosi filem terbaru arahan dan terbitannya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri tetap menerima tawaran menyambung pelajaran peringkat Doktor Falsafah (PhD) bidang industri, yang ditawarkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM).

Idham telah menyerahkan borang kemasukan kepada Naib Canselor universiti berkenaan, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak di kampus utama universiti itu di Sintok, Kedah, baru-baru ini.

Dengan penerimaan kemasukan ke sesi pembelajaran terbabit, Ahmad Idham, selaku penerbit, pengarah dan pelakon dijangka akan bergelar doktor PhD dalam tempoh minimum dua tahun lagi.

Bagi pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, inisiatif beliau untuk melanjutkan pengajian peringkat PhD merupakan usahanya untuk mempertingkatkan industri perfileman tempatan.

“Akademik merupakan minat saya semenjak dahulu, bila mengetahui UUM ada menawarkan program PhD Industri, ia merupakan satu peluang yang harus direbut,” kata Idham.

“Saya berharap pemindahan kejayaan dalam industri perfileman tempatan ke dalam medium dan konteks akademik bakal menjana perspektif baru dalam menjayakan agenda membawa industri perfileman tempatan ke persada global.

“Saya juga berharap ia menjadi pemangkin kepada penyelidikan dan inovasi dalam memastikan usaha Kerajaan untuk menjadikan pembangunan ekonomi berteraskan inovasi dapat dicapai dengan jayanya,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai permohonan Ahmad Idham yang memilih untuk menyambung pengajian di universiti berkenaan, Mohamed Mustafa berkata, ia akan memberikan input terbaik buat universiti juga industri perfileman tempatan.

PhD Industri memberi tumpuan kepada para profesional dan pengamal industri dalam menghasilkan inovasi dan meningkatkan daya saing melalui penyelidikan berasaskan industri untuk menggalakkan perkongsian pengetahuan antara pengamal industri dan ahli akademik dalam melahirkan profesional yang berpengetahuan tinggi.

Kursus PhD Industri ini mempunyai tempoh minimum selama dua tahun bagi setiap pelajar untuk melengkapkan pengajian mereka di bawah seliaan seorang penyelia yang dilantik oleh universiti.

“Ahmad Idham akan menghasilkan tesis PhD yang berasaskan bidang perfileman tempatan, terutamanya berkaitan permasalahan, cabaran juga bagaimana mengatasi halangan terbabit, dalam memastikan industri ini mampu berdaya saing dengan industri filem serantau dan global.

“Selain itu, dengan penghasilan tesis itu juga mampu dijadikan bahan rujuk dan kajian kes untuk pelopor-pelopor industri yang lain, selain membantu penggubal dasar dalam membantu untuk mempertingkatkan industri perfileman tempatan, “ ujar Mohamed Mustafa.

Sementara Penyelaras Program Akademik Khas Selebriti, UUM, Mohd Idzwan Yacob berkata, pemilihan Ahmad Idham, merupakan satu bentuk pemindahan kejayaannya dalam industri perfileman tempatan ke medium akademik yang mampu menjana pemikiran penuntut.

Selain itu, UUM juga turut menawarkan pengajian peringkat pra siswazah kepada selebriti tanahair di dalam bidang komunikasi, yang dijalankan di kampung cawangannya di Kuala Lumpur.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain