suria

Faan Juara Keynote Bawa Pulang RM10,000

PETALING JAYA: Peserta Mohd Farhan Izharruddin (Faan) menepati ramalan ramai apabila muncul sebagai juara pertama rancangan Keynote yang diadakan malam Rabu.

Lagu ciptaannya, Suntuk yang dinyanyikan Hattan serta lirik oleh Abie Abdullah diumumkan sebagai lagu terbaik pada konsert tersebut.

Sebagai juara, Faan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta trofi, tiket dan pakej percutian ke Koh Samui Thailand tajaan Firefly dan Impiana Hotel Resort & SPA, dan gitar akustik jenama Fender dari Bentley Music.

Raja Nazrin Shah Raja Azaham (Nazrin) yang meraih tempat kedua pula memperolehi RM5,000 dan trofi.

Manakala Khairul Nizam Nazri (Keroz) yang mendapat tempat ketiga memperolehi wang tunai RM3,000 dan trofi.

Bagi tempat kedua dan ketiga pemenang masing-masing turut mendapat pakej percutian ke Phuket tajaan Impiana Hotel Resort & SPA.

Kesemua pemenang memperolehi produk kosmetik jenama Definate dan baucar Celebrity Fitness.

Bukan itu sahaja, Faan, Keroz dan Nur Mohd Alief Ayub (Nomad) yang sama-sama memenangi kategori lagu ciptaan kumpulan menerusi lagu Opahku Bilang dalam satu persembahan minggu lalu mendapat pakej percutian tiga hari dua malam di Impiana Cherating, Pahang.

Keputusan pemenang diadili berdasarkan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) dan penilaian juri yang masing-masing mewakili 50 peratus.

Barisan juri terdiri daripada M.Nasir, Ramli MS, Aidit Alfian dan Ajai yang juga bertindak sebagai dekan Keynote.

Dalam sidang akhbar yang diadakan dekan Ajai berkata, dia amat berpuas hati dengan konsert-konsert Keynote yang telah dijalankan sebelum ini.

Menurutnya, program itu berjaya mencapai matlamat untuk melahirkan bakat-bakat muda yang penuh dengan idea-idea baru lagi segar dalam bidang penciptaan lagu.

"Program ini juga telah berjaya memberi pendedahan kepada semua komposer dan juga penonton melihat potensi besar yang ada dalam bidang penciptaan lagu," katanya.

Rancangan itu dirakamkan secara langsung di Hall of Fame, Universiti Lim Kok Wing Cyberjaya, Selasa dan disarikan menerusi saluran Astro Ria sehari selepas itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain