suria

Charlie Sheen Mengaku Bersalah Pukul Isteri

LOS ANGELES: Pelakon Charlie Sheen,44, (gambar) mengaku bersalah kerana melakukan serangan ke atas isterinya pada sambutan Hari Krismas tahun lalu tetapi memohon pihak pendakwa tidak mengenakan hukuman penjara ke atasnya.

Peguamnya, Yale Galanter berkata walaupun Sheen sepatutnya dikenakan hukuman penjara selama 30 hari kerana pengakuan bersalah yang dibuat di mahkamah Aspen, Colorado, pelakon Two And a Half Man itu tidak akan menghabiskan tempoh tersebut di bilik besi.

Sebaliknya dia akan menjalani rawatan pemulihan selama 30 hari di Pusat Pemulihan Promises di Malibu California, dekat dengan tempat tinggalnya.

Bagaimanapun TMZ.com melaporkan kerana pelakon itu telah menghabiskan masanya lebih dari sebulan di pusat tahanan itu sebelum ini, dia tidak akan menghadapi hukuman yang lama.

Mengikut peraturannya, Sheen akan menjalani 30 hari tempoh percubaan dan 36 jam masa untuk rawatan mengawal kemarahan.

Menurut peguamnya, pelakon tersebut akan kembali bekerja di lokasi penggambaran filemnya secepat mungkin.

Sheen ditangkap pada 25 Disember lalu di Aspen atas tuduhan mengancam isterinya, Brooke Mueller di sebuah rumah yang di sewa mereka untuk bercuti.

Setelah terlibat dalam beberapa siri kejadian membabitkan dadah, kekerasan rumah tangga dan mempunyai hubungan dengan pelacur, Sheen berjaya menjadi seorang pelakon komedi yang popular.

Pada tahun 1997 pelakon itu cuba menyerang kekasihnya di sebuah rumah di California dan dituduh menyerang bekas isterinya Danise Richards. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain