suria

Zehra Zambri saman bekas suami berhubung kenyataan fitnah

Zehra nekad memfailkan saman terhadap bekas suaminya.

PENYANYI Zehra Zambri tampil mengemukakan surat saman terhadap bekas suaminya, Nur Mohd Iqwan Shamsudin susulan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah. 

Menurut Zehra tindakan tersebut dibuat bagi membersihkan kembali namanya yang tercemar disebabkan kenyataan tidak betul itu. 

“Di sini saya ingin memaklumkan bahawa satu writ saman dan pernyataan tuntutan telah difailkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap bekas suami saya berkenaan kenyataan-kenyataan fitnah yang telah dibuatnya terhadap diri saya semasa proses penceraian sebelum ini.

Zehra mendakwa bekas suaminya pernah mengeluarkan kenyataan tidak berasas dan disebarkan secara meluas. 

“Kenyataan-kenyataan yang bersifat menghina dan tidak berasas ini telah disebarkan secara meluas, seterusnya mencalarkan nama baik, maruah dan imej profesional saya.

“Tindakan undang-undang ini diambil bagi membetulkan tanggapan awam, memulihkan nama baik saya serta menegakkan keadilan,” katanya. 

Zehra berkongsi kenyataan tersebut dalam satu hantaran yang dimuat naik di laman Instagram miliknya pada Jumaat. 

ARTIKEL BERKAITAN: Zehra Zambri sah bercerai talak satu dengan suami 

ARTIKEL BERKAITAN: Badan menggigil takut, tidak dinafkahi selayaknya... Zehra Zambri kongsi luahan ujian hidup

Tindakan saman itu dibuat susulan kenyataan berhubung dakwaan melakukan keganasan rumah tangga seperti yang dikatakan Mohd Iqwan sebelum ini. 

“Keputusan untuk memfailkan saman ini dibuat setelah saya menerima pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa bahawa laporan polis yang dibuat oleh bekas suami terhadap saya telah disiasat sepenuhnya yang mana pihak saya juga telah memberikan kerjasama penuh.

“Pihak berkuasa telah memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan lanjut (no further action). Keputusan pihak berkuasa ini dengan jelas membuktikan bahawa laporan tersebut adalah tidak berasas dan berunsurkan fitnah.

Saman fitnah yang difailkan terhadap bekas suaminya bertujuan untuk mendapatkan keadilan. 

“Saya ingin menegaskan bahawa langkah ini semata-mata bertujuan untuk mendapatkan pembetulan pandangan awam dan ganti rugi bagi kemudaratan teruk yang telah dialami akibat kenyataan fitnah tersebut,” jelasnya. 

Zehra, 38, sah bercerai talak satu dengan Nur Mohd Iqwan Samsudin di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bangi pada 20 Ogos lalu.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 10 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Zahiyah Iqleela yang kini berusia tiga tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain